Hati-hati dengan buah tangan musuh politik


The Malaysian Insight

Pakatan Harapan yang baharu memerintah didesak dengan pelbagai perubahan oleh Umno dan PAS, perubahan yang dahulunya mereka langsung tidak peduli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2018.

INI notis kepada wakil rakyat Pakatan Harapan: Hati-hati dengan musuh politik yang tiba-tiba ternampak bermurah hati dan boleh dipersetujui.

Terutamanya atas isu yang sejak sekian lama mereka tidak menunjukkan minat, malah menentangnya dengan keras.

Untuk lebih jelas, cadangan meminda undang-undang dan mengasingkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya tidak hanya muncul selepas PH mengalahkan BN pada 9 Mei lalu.

Pemusatan kuasa pada peguam negara sudah lama dibincangkan, terutamanya ketika tahun-tahun akhir pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Semasa jadi menteri undang-undang pada 2008, Zaid Ibrahim mencadangkan pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya. Beliau tidak dapat sokongan daripada rakan-rakan dalam Kabinet atau ahli politik Umno.

Pembetulan. Idea pembaharuannya dikecam oleh Umno dan sejenisnya yang tidak mahu menggugat status quo yang menguntungkan mereka.

Untuk apa mengurangkan kuasa peguam negara yang nampaknya sangat memihak dengan Umno?

Maka idea pemisahan kuasa itu terlonggok bersama-sama idea pembaharuan lain yang tergendala.

Selepas Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya menyingkirkan Najib Razak dan pasukannya, idea mengambil alih kuasa pendakwaan daripada peguam negara kembali dapat perhatian. Ini tidak menghairankan kerana ia sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH.

Tetapi baru-baru ini Dr Mahathir berkata cadangan ini perlu ditangguhkan kerana PH tiada majoriti dua pertiga di Parlimen yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan dan melaksanakan pemisahan kuasa itu.

Muncullah Ahmad Maslan dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Dua ahli Parlimen ini hari ini bangun di Dewan Rakyat dan berkata parti mereka akan menyokong usaha kerajaan meminda undang-undang berkenaan.

Hati-hati dengan musuh politik yang membawa buah tangan.

Untuk apa menyokong pengasingan kuasa itu sekarang? Untuk apa jadi memperjuangkan pembaharuan sistem perundungan pada masa ini?

Kenapa sekarang, selepas bertahun-tahun mengambil sikap yang berbeza dan menentang?

Mungkin kerana peguam negara sekarang sibuk mendakwa banyak orang bersabit skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB). Beliau juga mendakwa mereka yang dikatakan menyeleweng atau cuai menguruskan duit rakyat.

Umumnya, mereka yang disiasat atau didakwa adalah pemimpin kanan Umno atau mereka yang ada kaitan dengan Umno.

Apa lagi cara terbaik untuk menghentikan semua tindakan penguatkuasaan ini selain daripada mengambil kuasa pendakwaan daripada peguam negara, dan meletakkannya pada seseorang yang kurang ghairah membersihkan Malaysia yang tercemar.

Pemerhati politik percaya Umno dan PAS ada udang di sebalik batu.

Kedua-dua parti mungkin memberikan gambaran mereka mendukung langkah memisahkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, tetapi apa yang mereka mahu ialah peluang untuk memalukan Dr Mahathir Mohamad dan PH di Parlimen.

Peluang itu akan datang sekiranya rang undang-undang meminda Perlembagaan untuk mengasingkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya dibentangkan di dewan.

Mereka mahu menunjukkan bahawa kuasa kerajaan PH rapuh. Mereka mahu menggagalkan agenda reformasi PH selagi ada peluang. Mereka berharap boleh menabur benih tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Apa lagi cara yang baik untuk memalukan kerajaan yang memerintah selain daripada menggagalkan rang undang-undang penting meminda Perlembagaan?

Maka itu, berhati-hatilah dengan musuh politik yang datang dengan buah tangan. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen