Pemilik CityOne tawar bantuan kewangan kepada mangsa


Desmond Davidson

Letupan CityOne di Kuching semalam membunuh tiga mangsa dan mencederakan berpuluh yang lain. – Gambar ehsan Jabatan Pertahanan Awam, 5 Disember, 2018.

PEMILIK CityOne Megamall hari ini berjanji untuk membantu secara kewangan semua 41 mangsa yang cedera serta tiga keluarga mangsa yang maut dalam letupan semalam.

Stephen Long Tine Chung berkata, beliau tidak dapat menahan kesedihan apabila melawat mangsa yang kebanyakannya melecur di Hospital Umum Sarawak.

“Melihat mereka melecur, sangat menyedihkan. Buat saya menangis,” kata pengarah Kenbest Sdn Bhd, pemaju hartanah berpangkalan di Kucing yang membangunkan projek komersial dan kediaman termasuklah CityOne Megamall.

Menantunya, Johnny Lau adalah antara mangsa yang cedera dan sedang dirawat di hospital tersebut.

Lau melecur 20% badannya tetapi kecederannya tidak dianggap membahayakan nyawa.

Beliau dilaporkan sedang menyelia kerja-kerja akhir kedai tersebut ketika letupan berlaku.

“Sangat sedih kerana kejadian tersebut.

“Kita hilang tiga nyawa dan ini bukan sesuatu yang kita mahu berlaku. Sangat menyedihkan tengok nyawa melayang,” kata Long.

Walaupun Long berharap pihak berkuasa memberikan kebenaran supaya kompleks beli belah itu dibuka secepat mungkin, beliau tidak mendesak ia berlaku segera.

“Keselamatan adalah keutamaan di CityOne,” katanya.

Long berkata beliau tidak kisah sangat dengan kerugian dialami kompleks itu ketika musim beli belah sempena Krismas berbanding penderitaan yang dilihatnya di hospital serta nyawa yang melayang.

Malam tadi, Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah berkata kompleks itu boleh dibuka sebahagiannya selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memberikan kebenaran.

Bomba berkata letupan itu tidak menjejaskan integriti struktur bangunan.

Tiga maut dihempap dinding konkrit kerana letupan semalam.

Tiga yang turut ditimpa bagaimanapun berjaya diselamatkan tetapi berada dalam keadaan kritikal. – 5 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen