Polis masih belum terima laporan bedah siasat kedua Nazrin


Mohd Farhan Darwis

POLIS masih menunggu laporan penuh bedah siasat kedua bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Allahyarham Nazrin Hassan, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

“Kita masih belum dapat lagi laporan bedah siasat yang kedua, kita memang mahu laporan itu secepat mungkin, pihak yang mengendalikan bedah siasat itu belum kemuka laporan kepada kita,” kata Fuzi, kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan bersama Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin di Bukit Aman, hari ini.

Pada 14 Jun, mayat Nazrin ditemui selepas kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya. Kes itu pada mulanya dilaporkan berpunca kerana letupan telefon bimbit.

Tetapi pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya kemudiannya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan. 

Bedah siasat kedua itu dilakukan pada 14 Oktober di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen