Eloklah Maszlee dah buat pembetulan, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sekali lagi jadi tumpuan negara selepas kenyataan 1MDB jadi silibus sekolah yang didakwanya "salah petik" media. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini memuji tindakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik menjelaskan kenyataannya berhubung isu menjadikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai silibus dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah.

Menteri dalam negeri itu berkata, beliau menghubungi Maszlee bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebaik sahaja isu itu mula menjadi perhatian ramai.

“Saya sudah hubungi beliau, komen awal nampak ada reaksi daripada orang ramai, sebagai rakan dan presiden (Bersatu) saya sudah hubungi beliau, dan beliau jelaskan kalau lihat video di Parlimen (kenyataan) itu adalah respon kepada soalan (ahli Parlimen Pontian) Ahmad Maslan.

“Bila media cedok gambarannya seolah-olah beliau buat kenyataan begitu, beliau sudah buat pembetulan, eloklah beliau buat pembetulan,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas mesyuarat bulanan bersama polis di Bukit Aman hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, proses menjadikan sesuatu perkara sebagai silibus mata pelajaran sekolah juga tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana ia perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Kajian Kurikulum Kementerian Pendidikan.

“Saya sebagai menteri pendidikan dulu, memang ada panel jawatankuasa untuk silibus pendidikan…bila (isu) sudah jelas kita terima penjelasan, saya pun kena berhati hati, media pun tolong bantu jangan cedok (berita) tidak betul,” kata Muhyiddin.

Kenyataan Maszlee di Parlimen sebelum ini mencetuskan reaksi negatif banyak pihak yang tidak bersetuju dengan perkara itu.

Setiausaha Akhbarnya Shahrul Aman Mohd Saari kemudian mengeluarkan kenyataan menyatakan yang ahli Parlimen Simpang Renggam itu sama sekali tidak menyebut kes 1MDB akan dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah, sebaliknya hanya menyebut isu 1MDB akan dimasukkan dalam Sejarah Malaysia.

Shahrul Aman kemudiannya meminta agar media membuat pembetulan dalam laporan awal mereka bagi mengelakkan masyarakat keliru.  – 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen