PIHAK polis sudah mengenal pasti dalang yang disyaki terlibat mencetuskan insiden keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor minggu lalu, kata Muhyiddin Yassin.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, pihaknya juga menjangkakan lebih ramai lagi akan ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Polis sudah ada maklumat dan mereka yang disyaki sudah ada yang diambil tindakan, dan kini bilangan mereka yang ditahan semakin bertambah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan dengan Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur, petang tadi.
“Ada kerjasama daripada orang ramai yang membantu” tambahnya, sambil menyebut siasatan polis berhubung insiden melibat seorang anggota bomba yang cedera parah.
Muhammad Adib Mohd Kassim cedera didakwa dipukul oleh perusuh pada malam kedua selepas rusuhan pada awal pagi Isnin minggu lalu, semasa berkejar ke kawasan dekat kuil berkenaan untuk memadamkan kebakaran.
Semasa beliau dirawat di hospital kerana cedera parah dan dilaporkan dalam keadaan kritikal, muncul laporan mendakwa kononnya Adib dilanggar oleh sebuah lagi jentera bomba.
“Seorang saksi telah tampil ke hadapan untuk memberikan keterangan dan kita akan siasat perkara itu sampai terbukti siapa yang bersalah,” kata Muhyiddin, pada sidang media yang disertai Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Haron.
Pihak polis sebelum ini mengeluarkan gambar senarai 28 saksi yang dikehendaki untuk memberikan keterangan berhubung insiden tersebut.
Polis juga setakat ini menahan 83 individu warga tempatan untuk membantu siasatan.
“Setakat pukul 8 pagi ini kami telah tahan 83 individu untuk siasatan dan ada beberapa lagi sedang diburu.
“Semalam kami telah senaraikan beberapa individu terbabit dalam kekecohan itu,” kata Fuzi, dalam kenyataan awalnya hari ini.
Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.
Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam. – 4 Disember, 2018.
Komen