Tarik juga sekatan mahasiswa sokong badan bukan politik


SAYA menyambut baik langkah Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik membentangkan 3 rang undang-undang (RUU) untuk meminda  Akta Universiti Kolej Universiti 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (“Akta-akta tersebut”) di Dewan Rakyat hari ini.

Sekiranya RUU-RUU tersebut diluluskan, ia bermakna mahasiswa boleh melibatkan diri dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Pindaan terhadap Akta-akta tersebut adalah langkah ke hadapan yang penting bagi mengembalikan hak-hak mahasiswa yang telah lama dikekang.

Pada masa yang sama, usaha untuk memperkasakan mahasiswa tidak boleh berakhir setakat RUU-RUU itu sahaja. Saya berharap RUU yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini hanyalah langkah permulaan.

Saya menggesa Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, untuk juga menarik balik sekatan ke atas mahasiswa daripada menjadi ahli atau menzahirkan sokongan terhadap mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh lembaga, ketua pendaftar atau menteri sebagai “tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan” pelajar atau institusi pendidikan tinggi itu.[i]

Peruntukan-peruntukan ini telah digunakan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mahasiswa-mahasiwa yang terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan bersifat politikal, walaupun bukan parti politik, kerana pihak kerajaan atau lembaga universiti tidak senang dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Peruntukan-peruntukan ini memberi ruang yang luas kepada pihak kerajaan atau lembaga universiti untuk menentukan apa yang dinyatakan sebagai “tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan”.

Sehingga peruntukan-peruntukan ini dipinda dan sekatan-sekatan ini dimansuhkan, mahasiswa masih belum dapat mengecapi sepenuhnya kebebasan-kebebasan yang sememangnya termaktub buat mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan. – 4 Disember, 2018.

*Syahredzan Johan adalah setiausaha politik ahli Parlimen Iskandar Puteri.


[i] Terkandung di dalam Seksyen 15(2)(b) dan 15(3)(b) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Seksyen 47(2)(b) dan 47(3)(b) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(b) dan 10(3)(b) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen