Siasatan audit 1MDB, PAC akan panggil Arul Kanda, Ali Hamsa


Asila Jalil

Pengerusi PAC Ronald Kiandee juga tidak menolak kemungkinan Najib Razak akan turut dipanggil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Disember, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA empat orang lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ronald Kiandee.

Pengerusi PAC itu berkata antara individu yang akan dipanggil ialah bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali, bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmed dan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Kiandee juga tidak menolak kemungkinan yang bekas perdana menteri Najib Razak akan turut dipanggil.

“Ya, beberapa nama sudah dikenal pasti, termasuklah pasukan audit sebelum ini (ketika pentadbiran bekas ketua audit negara Ambrin Buang),” katanya kepada wartawan selepas prosiding hari ini.

Kiandee berkata Ambrin mencadangkan sehingga enam nama ahli pasukan auditnya untuk dipanggil membantu siasatan.

Apabila ditanya tentang tempoh prosiding berjalan, Kiandee berkata siasatan akan bersambung tahun depan.

Bagaimanapun, beliau berharap akan dapat menyiapkan siasatan sebelum sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan hasil prosiding dibentangkan di Parlimen.

PAC akan memanggil bekas CEO 1MDB Arul Kanda (gambar), bekas KSN Ali Hamsa, bekas AG Apandi Ali dan bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad dalam siasatan laporan audit 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

Sementara itu, mengulas sesi hari ini bersama Ambrin, Kiandee berkata bekas ketua auditor negara itu akan dipanggil sekali lagi untuk membantu siasatan.

“Banyak maklumat diberikan dan daripada semua maklumat ini, PAC berpandangan yang ia perlu memanggil Tan Sri (Ambrin) sekali lagi bersama-sama pasukan audit yang mengaudit 1MDB,” katanya.

Kiandee menambah yang prosiding bersama Ambrin hari ini tidak membincangkan sama ada laporan audit 1MDB dipinda atau tidak.

Ambrin pula enggan bercakap dengan media selepas pertemuannya tamat pada jam 4 petang tadi.

“Tiada komen, awak tanya pengerusi,” katanya.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad dijadualkan memberi keterangan esok, diikuti dengan bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah pada 6 Disember.

Dalam kenyataannya bulan lepas, Madinah mengesahkan yang bekas perdana menteri Najib Razak memanggil Ambrin pada 22 Februari 2016 dan mengarahkan beberapa bahagian audit 1MDB dikeluarkan. – 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen