3 maut letupan di CityOne, Kuching


Desmond Davidson

Letupan di City One, Kuching menyebabkan beberapa orang pekerja cedera. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

TIGA terbunuh dan 29 yang lain cedera dalam letupan di kompleks beli belah CityOne, Kuching petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Khiruddin Drahman mengesahkan tiga pekerja- dua kakitangan Nene Chicken yang dijadualkan dibuka esok dan seorang pekerja ubah suai- terbunuh dalam letupan pada jam 3.37 petang itu.

Katanya, dua yang maut berasal dari Sarawak dan seorang lagi dari Pulau Pinang.

Tambahnya, kebocoran tangka gas oxyacetylene yang digunakan dalam kerja kimpalan mungkin punca letupan.

“Ia sekarang jadi siasatan polis dan mereka akan sahkan hasil siasatan,” katanya.

Menurutnya, 29 orang- 17 lelaki dan lima wanita cedera ringan, manakala empat lagi cedera parah dan 3 yang maut- adalah jumlah penuh mangsa.

Khiruddin berkata mangsa yang cedera ringan termasuklah pelanggan dan seorang jurujual kedai berhampiran.

“Kami pada mulanya mengesahkan lima orang terperangkap di bawah dinding yang runtuh.

“Tetapi ketika kerja mencari dan menyelamat, kami menemui enam orang,” kata Khiruddin.

“Kami berjaya membawa keluar tiga yang hidup, tetapi tiga lagi sudah meninggal.”

Seorang saksi yang merupakan jurujual TM Nieda Zaie berkata ada letupan kuat yang menggegarkan bangunan tersebut. 

“Kemudian pencuci menjerit suruh kami tinggalkan bangunan,” katanya yang bekerja di kedai terletak di tingkat dua kompleks tersebut. 

Seorang pekerja syarikat minuman yang hanya mahu dikenali sebagai Benny berkata, yang beliau sedang memasang peralatan minuman apabila “letupan berlaku tiba-tiba”.

Katanya, terdapat “20 orang” di sekelilingnya ketika letupan berlaku.

Pengurusan kompleks beli belah itu dalam catatan di Facebook menyatakan yang kompleks akan ditutup sehingga diberitahu kelak. 

15 orang cedera selepas letupan dipercayai disebabkan gas berlaku di CityOne, Kuching. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

Adun Padungan Wong King Wei yang turut berada di tempat kejadian berkata, beliau akan membangkitkan isu keselamatan tempat kerja dengan Menteri Sumber Manusia S Kulasegaran.

“Saya akan memintanya meneliti kejadian ini dan merangka peraturan dan syarat keselamatan tempat kerja yang lebih ketat.”

Ketua Polis Daerah Kuching Lim Ah Lek berkata tidak wujud unsur meragukan atau “unsur jenayah” dalam letupan itu.

“Mereka sedang buat pemeriksaan akhir dan menguji peralatan untuk pembukaan esok ketika letupan berlaku.”

Lim berkata mangsa yang maut berusia antara 29 hingga 49 tahun.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama yang terbunuh kerana keluarga mangsa belum dimaklumkan.

“Kami masih menyiasat kejadian tetapi kami percaya ia kemalangan tempat kerja.” – 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen