Sabah akan jatuh, kata Shafie


Desmond Davidson

BEKAS menteri yang kini menjadi ketua pembangkang Shafie Apdal meramalkan Barisan Nasional (BN) akan diundi keluar dari Sabah dalam pilihan raya umum akan datang, memetik pragmatisme rakyat Sabah yang pernah mengundi keluar dua parti pemerintah.

“Penduduk Sabah sudah membuat keputusan mereka dan bersedia untuk perubahan kerajaan,” kata Shafie kepada The Malaysian Insight di rumahnya di Taman Golf View, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, Umno Sabah akan mengikuti jejak langkah Pertubuhan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Berjaya, iaitu dua parti pemerintah yang diundi keluar rakyat.

Shafie, bekas naib presiden Umno berkata rakyat Sabah, yang beliau gelarkan sebagai “pragmatik”, tidak pernah mengelak daripada menggunakan undi mereka untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan pihak pemerintah.

“Penduduk Sabah sudah membuat keputusan dan bersedia untuk perubahan kerajaan,” katanya.

“Tidak seperti pengundi di Sarawak, BN menanamkan rasa takut pada mereka, rakyat Sabah berani mengambil risiko. Mereka berkata, ‘Jangan ambil mudah kami’.

“Sabah sentiasa diberitahu untuk menukar kerajaan,” katanya.

Usno berkuatkuasa pada 1967 tetapi dikalahkan Berjaya, parti yang diasaskan pembelot Usno, pada pilihan raya negeri 1976.

Berjaya kemudian dikalahkan Parti Bersatu Sabah (PBS), parti yang dibentuk pembelot Berjaya pada 1985.

Ramalan beliau mengenai kekalahan BN di negeri itu berdasarkan sokongang menggalakkan terhadap parti barunya pada pilihan raya umum akan datang, sudah dinikmati di bandar sekitar pantai timur Sabah.

“Jika anda melihat parti baru lahir seperti Warisan yang kurang dikenali ramai di Sabah, kami sudah melakukan dengan agak baik,” kata Shafie.

Shafie melancarkan “Seri Jelajah Parti Warisan” pada Oktober tahun lepas, di mana beliau memulakan jelajah bertemu rakyat. Jelajah yang berakhir hujung minggu lalu di Penampang, mendedahkan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Sabah, kata Shafie.

“Saya sedar, saya terpaksa membuat rakyat menyedari mengapa kita perlukan perubahan kerana ia bukan semata-mata mengenai perubahan kepimpinan, daripada ketua menteri kepada yang lain, daripada satu perdana menteri yang berbeza dan seterusnya.

“Ia adalah satu keperluan untuk membuat perubahan struktur dalam sistem, perubahan untuk kebaikan rakyat.”

Shafie juga bercakap secara terperinci mengenai isu dan cabaran dihadapi rakyat Sabah, mengapa beliau percaya akan terjadi gelombang pengundi berpaling daripada BN pada PRU-14, dan pandangan mengenai sama ada Warisan akhirnya akan membentuk satu pakatan pembangkang di Sabah.

Berikut adalah petikan temu bual:

S. Anda sudah sampai di penghujung jelajah – berakhir hujung minggu lepas di Penampang. Adakah anda berjaya yakinkan akar umbi Warisan adalah cara untuk berubah?

J. Dalam penglibatan kita dengan rakyat, kita dapat membuat kesimpulan tsunami akan melanda Sabah pada pilihan raya ini.

Setiap hari, ahli parti kita akan turun padang untuk meningkatkan bilangannya. Ia tanpa henti.

Saya pasti sekarang, rakyat lebih tahu apa kedudukan mereka, hak (di bawah Perjanjian Malaysia 1963) dan apa yang mereka inginkan.

Kali ini, rakyat Sabah tahu apa mereka akan lakukan dalam pilihan raya.

S. Apakah cabaran untuk menembusi politik Sabah dengan parti baru? Banyak mana pengaruh berjaya dikuasai Warisan setakat ini?

J: Mereka (pengundi luar bandar) adalah kelompok yang tidak begitu pasti, individu atau parti mana perlu diikuti kerana terdapat banyak parti di Sabah.

Mereka mempunyai begitu banyak pilihan kerana terdapat banyak parti.

Mereka mempunyai begitu ramai pemimpin (berprofil tinggi) di kalangan komuniti, seperti Joseph Pairin Kitingan(timbalan ketua menteri yang juga presiden Parti Bersatu Sabah), Bernand Dompok (presiden Murut Bersatu United Pasokmomogun Kadazan Dusun), Jeffery Kitingan (presiden Parti Solidariti Tanah Airku), Wilfred Bumburing (presiden Parti Cinta Sabah) untuk dipilih.

Jadi bagaimana saya mampu menarik orang-orang ini, menarik dan memastikan mereka berada sama barisan dengan kami?

Kami menjelaskan rancangan kami, seperti merangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang, apa yang pentadbiran akan lakukan apabila berkuasa. Kami bercakap mengenai pekerjaan, bagaimana kita akan melakukannya.

Kita bercakap tentang keselamatan, hubungan negeri-persekutuan, hubungan kaum di Sabah yang amat penting.

Apabila mengadakan majlis, kami tidak menyediakan wang. Sehingga satu masa, ada yang menyediakan pengangkutan sendiri datang dari jauh untuk menyertai kami dan datang dalam jumlah yang besar. Jadi, ia sesuatu yang mengagumkan. Rakyat tidak hanya datang kerana mahu mendengar saya. Saya percaya mereka datang kerana ingin mengetahui lebih lanjut.

S. Anda juga banyak bercakap banyak tentang kebebasan ketua menteri dan mengapa Sabah tidak memerlukan ketua menteri yang dipermainkan seperti boneka oleh Putrajaya.

J. Ia adalah realiti. Itu yang rakyat benar-benar mahu. Bagi rakyat Sabah, mereka tidak mahu seseorang yang menentukan segalanya, sama ada dari Kuala Lumpur atau ahli perniagaan.

Itulah sebabnya saya menjelaskan, sesiapa yang mahu menjadi calon parti tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan.

Kita tahu ahli politik memerlukan wang tetapi mereka tidak boleh disekat, bersaing dengan ahli dan komuniti perniagaan. Ia sangat berbahaya. Anda tidak bebas bergerak kerana dikawal ahli perniagaan, yang menaja anda. Perjanjian baru untuk rakyat Sabah adalah mempunyai mereka yang tidak diikat.

S. Anda seolah-olah tidak berminat membentuk pakatan dengan parti pembangkang dalam usaha menjatuhkan Umno di Sabah. Apakah peluang untuk menjatuhkan Umno atau BN?

J. Untuk menjatuhkan kerajaan, jika anda melihat sejarah, sejak hari pertama Usno, Berjaya, PBS, ia bukan kerana pembentukan pakatan. Ia adalah daya bersatu rakyat.

Itulah sebabnya “Jelajah” tertubuh. Ia perpaduan rakyat yang paling utama. Ia bukan disebabkan Kitingan, (presiden SAPP) Yong Teck Lee, Wilfred Bumburing, (Perdana Menteri) Najib (Razak) atau (Ketua Menteri) Musa Aman yang menentukan siapa akan menjadi kerajaan akan datang. Ia adalah rakyat.

Jika saya menggunakan formula membentuk pakatan, saya kenal mereka ini… Jeffery, Lajim. Saya tidak menuduh mereka apa-apa, tetapi kemungkinan mereka diikat di sana. Mengapa mengambil risiko dengan kepercayaan yang rakyat beri kepada kami?

Kita mahu berubah, tetapi akhirnya, kita mungkin akan diubah oleh satu pakatan. Kita mungkin akan melihat mereka “melompat” kerana dibeli oleh wang.

Kita mungkin menyesal (tidak membentuk satu pakatan) tetapi ia lebih baik menyesal sekarang daripada kemudian. Ia lebih mudah mendapatkan sokongan rakyat dan daripada, katakanlah..Yong Teck Lee.

Juga, jika kita mahu menubuhkan pakatan, terdapat kerumitan, permintaan pihak yang terlibat. Pergi terus kepada rakyat lebih mudah. Mereka lebih tahu apa yang mereka mahu.

Saya tidak mengatakan pakatan tidak mungkin terjadi. Saya tidak mengatakan menutup peluang atau menolak mereka. Politik sangat dinamik. Apa yang penting dan perkara pertama di fikiran saya adalah memenangi pilihan raya. Saya tidak boleh angkuh sehingga mengatakan kami harus bergerak seorang diri.

Akhirnya, apa gunanya berjuang bersendirian dan rakyat tidak mendapat apa yang mereka mahu.

S. Bolehkah anda mengulas mengenai kehadiran DAP, PCS dan pemimpin PKR di majlis jelajah anda?

J. Mereka ingin tahu dan mendengar objektif kami. Kami mengalu-alukan semua yang mahu datang dan menghadiri majlis kami. Mereka adalah rakyat Sabah juga.

Mari berfikiran terbuka. Apa yang penting ialah kita semua mahu menjatuhkan BN, matlamat yang serupa.

Pilihan raya ini bekisarkan bagaimana kita boleh menjatuhkan BN.

S. Anda bercakap mengenai sejumlah besar orang menjadi ahli Warisan. Adakah anda mempunyai sebarang angka?

J. Saya tidak kira jumlah tersebut tetapi kami mencetak lebih 300,000 borang keahlian. Kami sudah mengedarkannya dan beberapa ahli juga mencetak borang mereka sendiri.

Jadi, anda boleh bayangkan ia lebih 300,000 yang kita daftar sebagai ahli.

Ahli baru bukan sahaja daripada parti pembangkang lain, mereka juga daripada pihak BN – Umno, PBS dan Upko.

S. Apa seterusnya selepas Jelajah?

J. Penamat jelajah di Penampang tidak bermakna ia petanda berakhirnya usaha kami mendekati rakyat. Kami akan meneruskan usaha mendekati seramai mungkin, di mana sahaja mereka berada, untuk memastikan kita boleh berhubung dengan mereka dan menunjukkan yang kita tahu betapa kuat sokongan mereka terhadap parti.

Kita akan mempunyai mesyuarat konsep dewan perbandaran di mana dialog boleh dilakukan.

Kita mahu memberikan mereka peluang bertanya sebarang soalan, mengadu masalah, kebimbangan mereka, malah mendengar cadangan tentang apa yang patut kita lakukan apabila kami membentuk kerajaan.

S. Adakah pilihan raya umum diadakan awal?

J. Saya tidak terlalu pasti tetapi saya kenal Najib, dan beliau merupakan orang yang tidak suka mengambil risiko. Adalah satu risiko sekiranya beliau ingin mengadakan pilihan raya awal.

Apa pun, sama ada beliau mengadakannya sekarang atau esok, rakyat sudah membuat keputusan.

Bukan semalam, bukan bulan lepas. Jika beliau meminta pilihan raya dijalankan esok, mereka sudah tahu siapa yang mereka mahu.

S. Adakah anda menjangkakan lebih banyak serangan peribadi?

J. Itu normal. Ketika saya berada dalam kerajaan, mereka berkata “dia ini baik”. Tiba-tiba, apabila anda berada di luar kerajaan, anda menjadi “lanun”.

Lanun, samseng, mengada-ngada, oportunis. Begitulah ia sistem berfungsi.

Apa yang paling dititikberatkan hari ini, kita tidak diadili ucapan yang disampaikan. Kita dihakimi oleh perbuatan kita. Rakyat akan percaya kepada kita dengan cara kita melakukan sesuatu perkara. – 2 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen