PEMIMPIN-pemimpin belia Sarawak hari ini menuduh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai “naif” apabila cuba menyalahkan kerajaan negeri berhubung isu sekolah daif.
Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga berkata, jika Sarawak dipertanggungjawabkan atas keadaan sekolah di negeri itu, maka Putrajaya perlu mengembalikan semula 100% royalti minyak dan gas dan memberi autonomi pendidikan sepenuhnya kepada kerajaan negeri.
“Kita akan mengendalikannya dengan cara kami. Kita berharap Dr Maszlee sendiri akan menyokong penuh jika usul ini dibawa ke Dewan Rakyat,” kata Pemuda GPS dalam satu kenyataan.
Pemuda GPS berang dengan kenyataan Maszlee ketika melawat dua buah sekolah di Bintulu pada Sabtu, semasa menghadiri pelancaran Bersatu di Sarawak.
Maszlee berkata: “Tidak masuk akal negeri yang kaya seperti Sarawak mempunyai sekolah-sekolah daif.”
Menerusi kenyataan bersama itu, pemimpin-pemimpin Pemuda GPS - Gerald Rentap Jabu dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Snowdan Lawan (Parti Rakyat Sarawak), Micheal Tiang (Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP)) dan Robert Ayu (Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)) - berkata Maszlee seperti langsung tidak mengetahui hakikat bahawa pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri.
Mereka juga berkata selama 55 tahun penubuhan Malaysia, tiga pemimpin utama Pakatan Harapan iaitu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah berkhidmat sebagai menteri pendidikan dan oleh yang demikian Maszlee juga harus bertanggungjawab terhadap keadaan sekolah di Sarawak.
Dr Mahathir menjadi menteri pendidikan antara 1974-1978, Anwar (1986-1991) dan Muhyiddin (2009-2015).
“Justeru kenyataan beliau yang menyebut bahawa tidak masuk akal negeri sekaya Sarawak mempunyai banyak lagi sekolah daif, ibarat ‘meludah ke langit’.”
Pemuda GPS menambah, walaupun mengalu-alukan kesanggupan Maszlee untuk bekerjasama dengan negeri dalam menyelesaikan isu keadaan sekolah, pada masa yang sama mereka menyelar menteri pendidikan itu yang meminta Sarawak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan. – 4 Disember, 2018.
Komen