Malaysia perlu ambil peluang revolusi teknologi, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir berkata menerusi revolusi dunia digital usahawan luar bandar mampu memasarkan produk mereka ke dunia luar hanya dengan menggunakan komputer dan telefon bimbit.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2018

MALAYSIA perlu mengambil kesempatan daripada revolusi digital yang melanda dunia ketika ini kerana ia mencipta peluang baru dalam bidang perniagaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, melalui revolusi digital yang hanya menggunakan komputer dan telefon bimbit, usahawan daripada kawasan pedalaman di Malaysia kini mampu memasarkan produk mereka ke dunia luar.

“Malaysia hanya mampu menerima kelebihan daripada perkara itu sekiranya mengambil kesempatan penuh transformasi digital melalui polisi Industri 4.0, atau lebih mudah dikenali sebagai Industry4WRD,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darrel Leiking pada majlis makan malam Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di ibu negara malam ini.

Dr Mahathir berkata, polisi itu bertujuan ingin menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik bagi pengeluaran pintar, destinasi primer untuk industri berteknologi tinggi dan pembekal penyelesaian untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan di rantau ini.

Menurutnya, kewujudan platform e-perdagangan antara perniagaan kepada perniagaan dan perniagaan kepada syarikat membuka pasaran luas untuk usahawan Malaysia yang membolehkan mereka mengeksport produk kepada pengguna.

“Matrade juga perlu fokus kepada perdagangan dengan negara maju. Kita dapat saksikan bagaimana negara maju sentiasa terlibat dalam perdagangan dengan negara membangun. Ini kerana berdagang dengan negara membangun menguntungkan.

“Disebabkan itu, Matrade perlu terus melabur dan membina kepakaran dalam bidang data analitik. Perlu saya tegaskan, Matrade bukan sahaja perlu mempromosikan perdagangan, tetapi juga organisasi yang mempunyai data untuk aktiviti promosi,” katanya.

Dengan itu katanya, Matrade akan berupaya mengetahui kehendak dan keperluan pengguna yang boleh dipasarkan.

Sebagai negara yang berdagang, Dr Mahathir turut mengingatkan Matrade supaya mencari kaedah dan cara untuk mengguna pakai teknologi baru bagi menggalakkan perdagangan negara.

Malaysia juga katanya boleh mengambil kesempatan daripada aktiviti perdagangan, termasuklah krisis yang berlaku dalam bidang perdagangan dunia.

“Dalam krisis terdapat banyak peluang, apabila berlakunya perang dagangan, sekatan dilakukan, negara membangun seperti Malaysia boleh mencari cara kreatif untuk meningkatkan jumlah perdagangan kita,” katanya. – 3 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen