Remaja miskin dipuji pulangkan berlian yang dijumpai


Remaja itu menemui berlian itu ketika sedang bermain kriket dan menyimpannya selama tiga hari sebelum menjumpai pemilik asalnya. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2017.

ANAK pasangan seorang jaga dan tukang jahit di India memulangkan sebuah bungkusan berisi berlian 700 karat bernilai lebih kurang RM280,000 kepada pemiliknya yang datang mencari bungkusan itu di tempat ia dipercayai tercicir.

Remaja berumur 15 tahun itu menemui bungkusan tersebut ketika bermain kriket di sebatang jalan yang menempatkan deretan kedai barangan kemas di Mahidhapura, dalam daerah Surat di Gujarat baru-baru ini, lapor Times of India.

Atas kejujurannya itu, Vishal Upadhyay, pelajar Tahun 11, dibalas budi dengan hadiah wang tunai kira-kira RM2,000 oleh tuan punya berlian itu dan tambahan lebih kurang RM750 oleh Persatuan Berlian Surat, Sabtu lalu.

“Saya terhutang budi kepada budak itu kerana memulangkan bungkusan berlian saya. Saya akan rugi besar kalau tidak jumpa balik bungkusan itu.

Saya mungkin terpaksa jual rumah untuk bayar hutang. Budak ini selamatkan saya dan keluarga,” kata Mansukh Savaliya, tuan punya berlian itu, seperti dipetik oleh Times of India.

Vishal terjumpa paket berlian itu semasa hendak mengutip bola kriket yang termasuk ke kawasan parkir. Semasa mengagau mencari bola kriket di bawah sebuah kenderaan, dia terpegang bungkusan tersebut.

Katanya, dia balik ke rumah dan menyimpan bungkusan itu serta tidak bercakap sepatah pun kepada ibu bapanya. Dia yakin akan dapat menemui pemilik bungkusan itu dan memulangkannya semula.

“Pada hari ketiga, pemilik bungkusan itu datang mencarinya. Saya dengar perbualannya dan saya ikut dia. Saya beritahu bungkusan itu ada pada saya,” kata Vishal.

Vishal turut menceritakan kenapa dia memulangkan bungkusan berisi berlian itu: “Saya pernah hilang duit kertas Rs50 (lebih kurang RM3.50) yang ibu beri. Hari itu saya tidak dapat makan. Saya terfikir betapa susahnya orang yang kehilangan bungkusan berlian itu.”

Ditanya apa yang dia akan buat dengan duit ganjaran yang diterimanya, Vishal dipetik berkata dia akan menggunakan wang itu untuk persekolahannya.

“Saya mahu berjaya dalam hidup. Saya hendak ibu dan ayah hidup selesa,” katanya.

Ayahnya bekerja sebagai seorang jaga di sebuah kedai berlian dengan gaji lebh kurang RM550 sebulan.  – 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen