SARAWAK bukannya mendesak tetapi hanya menuntut hak mereka dalam isu peningkatan royalti minyak kepada 5% sekarang kepada 20%, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.
“Ia hak kami,” katanya kepada wartawan.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam di Bintulu yang berharap kerajaan Sarawak “tidak terlalu mendesak royalti minyak kepada negeri”.
Abang Johari berkata permintaan untuk royalti lebih tinggi untuk sumber minyak dan gas negeri adalah hak negeri, dan menegaskan ia masih boleh dirunding.
Mengenai penolakan Dr Mahathir kepada pinjaman RM1 bilion daripada kerajaan negeri kepada persekutuan untuk mempercepatkan pemulihan sekolah daif di negeri itu, Abang Johari berkata beliau masih belum menerima kata putus rasmi mengenainya.
Dr Mahathir memberitahu media selepas menghadiri taklimat pembangunan di Bintulu sebelum pulang ke Kuala Lumpur yang “kerajaan negeri juga berhutang duit dengan kami”.
Perdana menteri menambah yang beliau lebih suka sekiranya kerajaan negeri “membayar duit yang mereka hutang dengan kami”.
Beliau berada di Bintulu untuk menghadiri pelancaran majlis meningkatkan keahlian Bersatu pada malam Sabtu.
Abang Johari ketika mengulas perkara tersebut berkata yang pembayaran pinjaman persekutuan tidak wajar dipersoalkan kerana Sarawak masih belum gagal membuat bayaran semula.
“Kita memang ada pinjaman persekutuan (dan) bayaran dibuat ikut jadual. Bayaran ikut jadual, ikut masa. Kita tak pernah tak bayar.”
Pada majlis perkhidmatan awam negeri malam Ahad lalu, ketua menteri dalam ucapannya berkata perubahan kerajaan di Putrajaya “masih belum memudahkan kehidupan kami di Sarawak”.
Katanya sejak perubahan kuasa itu, 315 Projek Mesra Rakyat di negeri itu dibatalkan.
Walaupun ia dibatalkan, Abang Johari berkata beliau tidak akan membiarkan penduduk Sarawak menderita dan kerajaan negeri akan mengambil alih projek yang dibatalkan.
“Demi rakyat yang mahukan pembangunan datang kepada mereka.”
Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersedia menyediakan peruntukan kepada projek keutamaan kewangan, impak tinggi dan mengutamakan rakyat, meneruskan pembangunan sosio-ekonomi serta mempercepatkan pelaksanaan projek transformasi luar bandar. – 3 Disember, 2018.
Komen