Tiga suspek IS didakwa kerana bakar masjid di Australia


Serangan dilakukan ke atas Pusat Islam Imam Ali tempat Syiah di Australia dipercayai berlaku kerana pengaruh IS yang dianggotai pelampau Sunnah. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2017.

TIGA lelaki akan didakwa melakukan keganasan berkaitan kejadian membakar dengan sengaja sebuah masjid di Melbourne yang mengambil “inspirasi IS”, kata polis Australia hari ini.

Dua lelaki berumur 25 dan 27 tahun- yang kini dalam tahanan kerana didakwa merancang serangan pengganas di sekitar musim perayaan Krismas tahun lepas- akan didakwa kerana kebakaran Pusat Islam Imam Ali pada November dan Disember tahun lepas.

Lelaki ketiga berusia 29 tahun pula ditahan malam semalam dan akan berdepan dakwaan sama terlibat dalam kegiatan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Kami tak kata ini kebakaran biasa yang disengajakan, kami akan dakwa kejadian ini terjadi kerana mengambil inspirasi IS,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis Australia, Ian McCartney kepada wartawan di Melbourne.

“Ia direka untuk mempengaruhi dan mewujudkan ketakutan ke atas kumpulan tertentu dalam komuniti.”

Pembantu Pesuruhjaya Ross Guenther yang merupakan ketua unit pencegahan keganasan Victoria berkata penyiasat percaya pusat itu dibakar kerana ia merupakan pusat kegiataan golongan Syiah.

“Pusat itu adalah pusat Syiah, jadi kami mendakwa yang mereka yang melakukan serangan itu adalah pengikut pelampau idelogi Sunnah yang mengambil inspirasi daripada IS untuk melakukan serangan itu,” katanya.

Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) ialah kumpulan pelampau Sunnah yang seringkali menyasarkan kelompoh Syiah Islam.

Tahap amaran keselamatan Australia diletakkan pada tahap tertinggi sejak September 2014 berikutan kebimbangan wujudnya serangan individu yang dipengaruhi IS.

Pihak berkuasa mengatakan 13 cubaan serangan berjaya dipatahkan sejak beberapa tahun lepas.

Kejayaan terbaru adalah pihak berkuasa berjaya mengagalkan plot serangan untuk menyeludup bom buatan sendiri ke dalam sebuah penerbangan antarabangsa yang bertolak dari Sydney, sekaligus mengagalkan plot gas beracun yang dilakukan pada waktu yang sama.

Beberapa serangan pengganas berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk rampasan sebuah kafe di Sydney pada 2014 yang menyebabkan dua tahanan terbunuh. – AFP, 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen