Ubah laporan 1MDB, PAC panggil Ambrin, Madinah


SM Amin

Bekas ketua audit negara Ambrin Buang, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad dan bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah dipanggil menghadap PAC minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2018.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas ketua audit negara Ambrin Buang, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad dan bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah berhubung dakwaan mengubah laporan audit 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Pengerusi PAC Ronald Kiandee berkata ketiga-tiga mereka akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

“Dia (Ambrin) akan beri keterangan esok kepada ahli-ahli PAC pada jam 11 pagi dan Madinah akan dipanggil menjadi saksi pada 5hb, lusa hari Rabu. 6hb Nafisah daripada Jabatan Audit

“Selepas itu beberapa saksi akan dikenal pasti akan dimaklumkan,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri kedua di Parlimen hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah mendedahkan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB itu dikeluarkan atas arahan bekas perdana menteri yang juga bekas menteri kewangan Najib Razak.

Keputusan untuk meminda laporan ini didakwa turut disokong oleh Ambrin, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan bekas ketua setiausaha sulit kanan perdana menteri Shukri Mohd. Salleh.

Keputusan itu dibuat oleh mereka dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

Menurut Ronald, tiada tempoh masa ditetapkan kerana terdapat tiga kes sedang disiasat oleh PAC ketika ini iaitu “kehilangan” dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion, projek marina awam dan siasatan semula isu 1MDB.

“Kita tiada had tempoh. Ketika ini ada tiga kes disiasat PAC. Tentu sekali kekangan berapa lama yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu Ketua Audit Negara Malaysia Madinah yang turut hadir dalam sidang media tersebut mencadangkan tindakan punitif terhadap dua kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa langkah itu tidak bermakna kementerian tersebut telah melakukan salah laku.

“Katakanlah contohnya jika seorang penjawat awam cuai, maka Jabatan Perkhidmatan Awam perlu menyelidikinya lagi.

“Apabila saya mengatakan hukuman, saya bermaksud siasatan lanjut perlu dilakukan kerana ia berpotensi menjadi hukuman sehingga semuanya bergantung kepada siasatan yang dilakukan,” katanya. – 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen