Apandi Ali tawar khidmat guaman himpunan bantah ICERD


Mohd Farhan Darwis

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali menawarkan khidmat guaman percuma kepada peserta ICERD, kerana percaya dengan perjuangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2018.

BEKAS peguam negara Mohamed Apandi Ali menawarkan khidmat guaman percuma kepada peserta perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Apandi berkata, beliau memberi khidmat percuma kerana percaya dengan apa yang diperjuangkan oleh himpunan itu.

Beliau juga yakin lebih ramai peguam akan tampil memberikan bantuan kepada penganjur, pada rapat umum yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka nanti.

“Ya benar, saya menawarkan khidmat guaman percuma kepada peserta himpunan, pada hari himpunan, kerana saya yakin apa yang mereka buat itu baik untuk negara,” kata Apandi, ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Apandi menawarkan khidmat guaman melalui firma guamannya Apandi Ali & Co, kepada peserta himpunan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, pada 8 Disember depan.

“Saya bersetuju dengan apa yang mereka perjuangkan, secara prinsipnya membantah ratifikasi ICERD. 

“Mereka buat perkara yang betul untuk negara. Kalau masa hari himpunan mereka kena tangkap polis, akan ada sukarelawan yang memberikan mereka khidmat nasihat guaman,” kata Apandi lagi.

Apandi juga berkata, khidmat sama seharusnya ditawarkan oleh Majlis Peguam memandangkan badan berkenaan pernah melakukan tindakan sama ketika penganjuran siri demonstrasi Bersih yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

“Sepatutnya Majlis Peguam yang buat. Dulu mereka buat ketika Bersih untuk pilihan raya bebas, bagus juga, mereka patut ke depan, tawar benda yang sama, sebab itu baik utuk negara,” kata Apandi lagi.

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yah­ya, juga mengesahkan terdapat ramai peguam yang tampil untuk memberi bantuan guaman kepada pertubuhan itu, termasuk Apandi.

“Tiada pengesahan daripada mana-mana pihak, saya pun dapat tahu daripada media beliau (Apandi) akan bantu.

“Tetapi kita memang menerima banyak bantuan, ramai peguam tampil menawarkan khidmat untuk memberi bantuan guaman kepada kita,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight, hari ini.

Aminuddin berkata, walaupun mempunyai sekretariat guaman bagi penganjuran himpunan itu pada 8 Disember depan, mereka turut menerima bantuan daripada 60 hingga 70 peguam yang menawarkan khidmat mereka.

“Ini membuktikan himpunan ini bukan sahaja menerima sambutan tetapi kita mahu ia menjadi himpunan yang aman.

“Sesiapa sahaja yang ingin membantu, kita alu-alukan. 

“Kita tidak ada buat pendaftaran atau sebagainya tetapi sesiapa sahaja boleh tampil ke depan jika ingin membantu kami,” kata Aminuddin.

Ummah juga sebelum ini mengesahkan mereka telah menyerahkan permit permohonan bagi penganjuran himpunan kesyukuran membantah ratifikasi ICERD itu, Isnin lepas.

Pembangkang dari PAS dan Umno, menentang kerajaan meratifikasi ICERD kerana mendakwa ia akan menghakis hak istimewa Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Walaupun kerajaan mengumumkan pada 23 November tidak akan meratifikasi ICERD, pembangkang dan kumpulan pejuang hak Melayu tetap mahu meneruskan perhimpunan pada 8 Disember masih akan berlangsung.

Bagaimanapun, beberapa NGO Islam bersuara menentang perhimpunan itu berikutan rusuhan yang berlaku minggu lalu berhubung penempatan semula kuil Hindu di Selangor.

Mufti-mufti dari Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut menyeru perhimpunan itu dibatalkan kerana kerajaan sudah membatalkan rancangan untuk meratifikasinya. – 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen