RIBUAN penunjuk perasaan anti perkauman membanjiri jalanan di Boston semalam, dengan jumlah lebih ramai berbanding perhimpunan pelampau kulit putih di bandar itu dan mencetuskan pergaduhan dengan polis tetapi tiada keganasan serius berlaku seperti seminggu lalu di Charlottesville, Virginia.
Perhimpunan digelar “kebebasan bersuara” oleh kumpulan berhaluan kanan itu dijadualkan berlangsung hingga jam 2 petang tetapi polis menghentikannya dan mengiring separuh daripada mereka menggunakan laluan lain.
Kira-kira 40,000 penunjuk perasaan dikatakan menyertai demonstrasi itu. Pihak berkuasa berkata 27 individu ditahan, kebanyakan kerana serangan terhadap polis.
Rakaman gambar aerial menunjukkan kumpulan itu mengisi jalan utama di Boston, dengan ramai membawa sepanduk sentimen anti perkauman.
“Ada yang cuba mencetuskan masalah, tetapi secara keseluruhan semua pihak berkuasa yang membantu mengawal perhimpunan itu dapat melakukan yang terbaik,” kata Pesuruhjaya Polis Boston William Evans pada sidang akhbar.
“Saya fikir mereka melakukan kerja yang baik dengan menggerakkan penunjuk perasaan. Kadangkala keadaan jadi sangat sukar, tetapi mereka semua terlatih.”
Demonstrasi semalam diadakan ketika negara itu sedang hebat membahaskan mengenai hubungan antara kaum, menghangatkan keadaan apabila Presiden Donald Trump mempertahankan peserta di perhimpunan pelampau kulit putih dan neo-Nazi di Virginia dengan mengatakan mereka orang yang sangat baik.
Ketika penunjuk perasaan mula meninggalkan bandar raya Boston tanpa sebarang insiden besar, Trump menulis di Twitter dengan nada lebih positif.
“Saya ucap tahniah kepada ramai penunjuk perasaan di Boston yang menentang ketaksuban dan kebencian.
“Negara kita tidak lama lagi akan bersatu menjadi satu,” tulisnya.
Ribuan penunjuk perasaan perhimpunan balas itu datang daripada dua kumpulan sebelum bergabung di jalan besar, melaungkan: “Tiada Nazi, tiada KKK, tiada fasis di USA”.
Ada juga yang membawa sepanduk tertulis: “Hentikan berpura-pura yang rasisme itu ialah patriotisme” dan seorang wanita juga membawa plakad: “Muslim dialu-alukan, rasis keluar”. – AFP, 20 Ogos, 2017.
Komen