AHLI Parlimen Cameron Highlands C Sivarraajh perlu diberikan peluang bertanding sekali lagi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, kata Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid turut menegaskan kerusi itu akan kekal ditandingi MIC seperti yang disepakati dalam konvensyen Barisan Nasional sebelum ini mengenai pembahagian kerusi.
“Kita amat menghormati konvensyen yang kita putuskan. Jika kerusi itu telah diperuntukkan kepada rakan parti komponen, maka kita akan memberikan sekali lagi kepercayaan kepada calon-calon yang dipilih oleh parti berkenaan.
“Dalam hal ini saya fikir presiden MIC biarpun belum mengumumkan siapapun calonnya tetapi dari segi adat berpolitik ahli Parlimen yang telah mewakili BN dan menang, harus diberikan peluang semula,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat dengan Senator-Senator Barisan Nasional di ibu pejabat BN di Kuala Lumpur, hari ini.
Jumaat lalu, mahkamah khas pilihan raya mengumumkan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu terbatal dan tidak sah, dan mengarahkan ia diadakan semula.
Hakim Azizah Nawawi berkata calon DAP, M Manogaran berjaya membuktikan ada perbuatan rasuah yang mempengaruhi kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Mahkamah memutuskan dari segi fakta bahawa Sivarraajh dari memberikan suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya 9 Mei lalu.
Menurut Zahid, Presiden MIC S. A. Vigneswaran akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada mahu merayu atau tidak keputusan mahkamah tersebut.
“Kita serahkan kepada MIC untuk menentukannya. Vigneswaran akan mengumumkan dalam waktu terdekat,” katanya.
Pada PRU14 Mei lalu, Sivarraajh memperoleh 10,307 undi mengalahkan Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan dengan 9,710.
Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud pula memperoleh 3,587 manakala calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan. – 2 Disember, 2018
Komen