BN ada alternatif lain jika MCA keluar


SM Amin

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu perlu bagi mendapatkan sokongan daripada kaum Cina.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2018

BARISAN Nasional (BN) mempunyai beberapa alternatif lain termasuk mengadakan kerjasama dengan parti berteras kaum Cina lain sekiranya MCA memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menamakan langkah-langkah alternatif dan parti tersebut, Zahid berkata tindakan itu perlu bagi mendapatkan sokongan daripada kaum Cina.

“Kita ada banyak alternatif. Kita ada banyak parti Cina di negara ini yang bersedia untuk bekerjasama dengan kita,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat dengan senator-senator BN di ibu pejabat parti itu di PWTC hari ini.

Kedudukan MCA dalam Barisan Nasional diputuskan hari ini dalam Perhimpunan Agung MCA 2018 yang berlangsung semalam dan hari ini di Wisma MCA.

Dalam perhimpunan itu juga buat pertama kali pengerusi BN tidak diundang sebagai perasmi dan tiada jemputan kepada rakan sekutu mereka dalam BN yang menurut Presiden MCA, Wee Ka Siong bagi membolehkan perwakilan parti bebas menyuarakan pandangan.

Menurut Zahid, pimpinan tertinggi BN dan MCA telah mengadakan perbincangan awal sebelum ini mengenai usaha-usaha untuk MCA sebagai parti yang berteraskan kepada dokongan kaum Cina untuk terus bergerak sebagai sebuah parti politik.

“Kami yakin perubahan sedang dilakukan oleh pucuk pimpinan MCA yang baru. Jika ini dapat dilakukan oleh mereka, sokongan dan dokongan orang Cina akan kembali kepada mereka.

“Jika berlaku sebaliknya, Barisan Nasional mempunyai beberapa kaedah yang lain. Tidak semua orang Cina menyokong parti kerajaan. 

“Mereka mengharapkan parti alternatif yang lebih majmuk bentuknya yang dapat bekerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terutamanya menjelang PRK Rantau dan CH,” katanya.

Bagaimanapun kata Zahid, apa jua keputusan yagn dibuat oleh MCA, ianya perlu dimaklumkan secara rasmi kepada BN.

“Tidak ada sebarang keputusan yang disampaikan secara rasmi kepada kami di ibu pejabat Barisan Nasional mengenai usaha mereka bagi keluar daripada Barisan Nasional.

“Kita menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh parti-parti teras yang sedia ada dan kita mengharapkan keputusan apa jua bentuknya mesti dimaklumkan kepada kami untuk tindakan-tindakan politik selanjutnya Barisan Nasional,” ujarnya.

MCA dan Umno antara dua parti terawal membentuk gabungan parti Perikatan pada 1952 sebelum disertai MIC dan pada 1973 sekali lagi kedua-dua parti menubuhkan BN menggantikan Perikatan. – 2 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen