KEDUDUKAN orang Melayu dan agama Islam tetap tidak berubah dan masih terancam walaupun pentadbiran kerajaan hari ini bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Ibrahim Ali.
Namun katanya, situasi hari ini semakin parah di bawah pentadbiran PH kerana parti itu mengamalkan dasar keterbukaan kepada semua pihak.
Menurut Ibrahim, 67, ianya berbeza pada zaman pentadbiran BN yang mana ancaman wujud ketika itu lebih menjurus kepada kelemahan pelaksanaan, ketirisan, dan rasuah.
“Kini di bawah kerajaan baru dengan slogan Malaysia Baharu, kita berdepan dengan cabaran lebih kritikal dan mencemaskan kerana dasar keterbukaan kerajaan telah membawa kesan dan implikasi negatif kepada umat Islam khususnya.
“Di bawah kerajaan lama sebelum ini, ancaman terhadap orang Melayu, agama Islam dan Perlembagaan negara sememangnya wujud.
“Tetapi dulu lebih kepada kelemahan pelaksanaan, ketirisan, rasuah, serta disebabkan mahu menjaga hati dan mencari undi kerana MCA gagal menambat hati orang Cina akibat permainan politik cauvinis DAP,” kata Ibrahim, di hadapan 1,327 ahli Perkasa ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) Perkasa ke-9, di ibu negara hari ini.
Ibrahim turut mempertahankan MCA dan mengatakan parti komponen BN yang mewakili kaum Cina itu berbeza berbanding DAP.
__full.jpg)
“Inilah timbulnya persepsi MCA sama dengan DAP tetapi bagi saya DAP tetap berbeza dengan MCA, kerana toleransi yang ditunjukkan melalui pakatan pelbagai kaum sejak merdeka ternyata membawa keharmonian.
“Ia bermula apabila meledak pada 2008 selepas MCA kalah teruk kepada DAP, sebelum itu tidak ada masalah, bila kalah kalut nak cari undi orang Cina,” katanya.
Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan PH hari ini mencanangkan dasar kesamarataan dan mengubah dasar dan institusi negara.
“Ia amat berbeza dengan keadaan sekarang, di bawah kerajaan baru, yang kononnya atas kehendak reformasi rakyat, mereka mahu merubah dasar-dasar nasional, institusi penting negara, malah mencanangkan dasar kesamarataan.
“Walhal penolakan rakyat terhadap kerajaan lama, terhadap BN adalah atas isu kos sara hidup yang menghimpit kehidupan rakyat,” kata Ibrahim.
Tambahnya, tidak perlu merombak dasar nasional terutamanya yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam sekiranya kerajaan bermasalah, sebaiknya hanya perlu tukar pemimpin dan kerajaan.
“Kalau ketua dalam sesebuah organisasi bermasalah, rakyat patut menumbangkan pemimpin tersebut bukan menjahanamkan dasar dan institusi yang sudah sebati dan diterima rakyat sejak merdeka.
“Tetapi yang berlaku sekarang kelambu dibakar menyebabkan ‘nyamuk’ berkeliaran dan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Rakyat mengharapkan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari, siapa sangka?” katanya. – 2 Disember, 2018
Komen