Bukan lagi jaguh negara, MIC mahu jadi jaguh kampung


Mohd Farhan Darwis

MIC menumpukan usaha untuk menjadi “jaguh kampung” dengan memenangi hati penduduk bagi mempertahankan dua kerusi yang dimenanginya pada 9 Mei, termasuk Cameron Highlands.

Presidennya S Vigneswaran berkata ia menginsafi realitif bahawa MIC perlu fokus kepada kawasan sahaja memandangkan Barisan Nasional hilang kuasa sebagai kerajaan.

“MIC tidak mahu menjadi jaguh negara, kita mahu jadi jaguh kampung. Kita mahu mempertahankan kerusi yang kita tandingi,” kata Vigneswaran, kepada The Malaysian Insight.

Parti itu berusaha untuk terus kekal berkuasa di Cameron Highlands walau mahkamah memutuskan MIC hilang kelayakan di kerusi berkenaan ekoran kesalahan merasuah pengundi.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Azizah Nawawi memutuskan perkara itu pada Jumaat selepas mendapati perbuatan rasuah itu diketahui dan mendapat keizinan oleh ahli Parlimen kawasan itu, C Sivarraajh.

Petisyen berkenaan difailkan calon DAP M Manogaran yang mendakwa Sivarraajh, memberi antara RM30 dan RM1,000 kepada pengundi Orang Asli di kawasan parlimen berkenaan bagi memastikan kemenangan BN.

C Sivarraajh yang juga naib presiden MIC memenangi kerusi itu dengan 10,307 undi dalam pertandingan lima penjuru. 

Mengulas keputusan mahkamah itu, Vigneswaran berkata MIC akan merayu dan pada masa sama bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil.

“Kita akan buat rayuan, dan sekiranya ditolak kita akan bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil.

“Dengan suasana politik hari ini, kita melihat peluang untuk kita menang di Cameron Highland ada, Tapah kita sudah menang, tidak ada isu,” tegas Vigneswaran.

Pada PRU14, C Sivarraajh yang juga naib presiden MIC memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi dalam pertandingan lima penjuru. – Gambar Facebook, 2 Disember, 2018 

Satu lagi kerusi yang dimenangi MIC dalam PRU14 adalah Tapah. Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, kekalahan BN itu juga memberi kebaikan kepada MIC.

Ini kerana parti itu kini berpeluang untuk memperkemas ahli di peringkat akar umbi bagi menghadapi PRU15 dan berpeluang untuk melaksanakan khidmat di kawasan mereka.

“Dulu kita sibuk dengan program kerajaan, sekarang kita banyak masa untuk memperkasa akar umbi parti untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang menjelang PRU15.

“Saya lihat ada kebaikan juga apabila kita kalah. Ada rahmatnya kerana banyak tohmahan dulu mengatakan MIC tidak melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan untuk masyarakat India,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin MIC akan dapat menunjukkan khidmat lebih baik berbanding empat orang menteri India dalam Kabinet sekarang – P Waytha Mooorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

“Sekarang rakyat boleh nampak apa seorang menteri MIC boleh buat berbanding empat menteri India dalam kerajaan sekarang.

“Bandingkan apa yang kita dapat dalam tempoh 50, 60 tahun kita dalam kerajaan, mereka empat menteri ini sudah pasti boleh buat empat kali ganda lebih baik untuk kaum India,” katanya.

Katanya, para menteri baharu itu kini akan dapat melihat bahawa pentadbiran kerajaan tidak semudah menjadi pembangkang.

“MIC dulu dituduh mencuri duit, tidak buat kerja dengan betul. Sekarang baru mereka sedar, lebih mudah duduk dan kritik daripada buat kerja. Sekarang mereka pun senyap sahaja,” katanya.

Tambahnya, MIC juga akan menekan kerajaan untuk mewujudkan mata pelajaran bahasa Tamil dan Cina di sekolah kebangsaan untuk memupuk integrasi kaum. – 2 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen