Khairy mohon maaf bendera Indonesia dicetak terbalik


Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi menulis di akaun Twitternya, menyatakan kekesalan berhubung kejadian bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderamata perasmian Sukan SEA ke-29 semalam. – Gambar Twitter, 19 Ogos, 2017.

PEMBUKAAN Sukan SEA ke-29 baru sahaja disambut dengan gilang-gemilang namun tercemar akibat kesilapan pada bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata bersempena majlis perasmian yang di adakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi menulis di akaun Twitternya, menyatakan kekesalan berhubung kejadian itu.

“Pembukaan #Sukan SEA 2017 yang bagus, tapi tercedarai dengan keteledoran fatal yang amat menyakitkan.

“Bendera kita, Merah Putih. Astaghfirullah…,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kemudian membalas, ““Bapak Imam, mohon terima permohanan maaf ikhlas saya atas kesilapan itu.

“Sesunguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf,” katanya.

Jawatankuasa Pengelola Penganjur Sukan SEA 2017 (Masoc) berkata ia sudah memohon maaf kepada Indonesia kerana kesilapan yang tidak disengajakan dalam mencetak bendera negara itu.

Masoc juga memaklumkan Khairy akan bertemu Imam hari ini untuk sekali lagi memohon maaf.

“Kesilapan ini amat dikesali dan kami percaya hubungan erat antara dua negara ini akan lebih diperkukuhkan di bawah semangat Sukan SEA,” katanya. – 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen