Pengurusan kuil kecam pengerusi, tuntut letak jawatan 


Christopher Rabin

Seorang penganut Hindu beribadat di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya. Pihak pengurusan kuil mendesak pengerusinya meletakkan jawatan kerana mendakwa tidak pernah terlibat menguruskan rumah ibadat berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018

PENGERUSI jawatankuasa kuil Sri Maha Mariamman perlu meletakkan jawatan kerana tidak terlibat dalam menguruskan rumah ibadat itu sejak 17 tahun lalu, kata pasukan petugas kuil yang dilantik untuk melindunginya daripada dipindahkan.

Ahli pasukan petugas berkenaan, Elangovan Annamalai hari ini mengecam pengerusi kuil K. Chellapa dan mengatakan beliau tiada kaitan untuk memegang jawatan pengerusi.

“Chellapa secara rasminya adalah pengerusi, namun sejak 2001, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke kuil,” kata Elangovan kepada The Malaysian Insight.

“Saya sangat terkejut bagaimana beliau boleh menghantar laporan tahunan dan akaun yang diaudit.”

Elangovan turut menuduh Chellapa menjual kepada pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerana menerima pampasan untuk memindahkan kuil itu dari tapak asalnya di Subang Jaya ke Putra Heights, iaitu sejauh 2.7 kilometer dari lokasi asal.

Dalam penghakiman persetujuan yang dikeluarkan oleh mahkamah, pemaju akan memindahkan kuil ke tapak baru dan membayar pampasan.

Kuil berkenaan sepatutnya dipindahkan minggu lalu tetapi pasukan petugas itu enggan berganjak dan mereka telah memfailkan injunksi untuk menghalang pemindahan itu.

Ia membawa kepada kira-kira 50 orang lelaki bertopeng menyerang kuil berkenaan pada Isnin, mencetuskan rusuhan selama dua hari. Sejumlah orang tercedera manakala lebih 20 kenderaan dibakar.

“Chellapa perlu letak jawatan dan kembalikan wang yang diambil dari pemaju,” kata Elangovan.

“Penganut di sini merasa tertipu kerana apa sahaja perjanjian yang dicapai Chellapa dengan pemaju tidak pernah dibincangkan dengan mereka.

“Beliau mengambil wang berkenaan tanpa merujuk kepada penganut yang merupakan pihak berkepentingan terbesar di kuil ini.

“Beliau perlu meletakkan jawatan dan biar pihak lain menguruskan kuil ini dengan maruah.”  – 1 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen