Dr Mahathir terdesak ajak Hindraf sertai pembangkang, kata Hishammuddin


Tindakan Dr Mahathir membelakangkan pemimpin Pakatan Harapan yang lain, katanya Hishammuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2017.

NAIB Presiden Umno Hishammudin Hussein menyifatkan tindakan Dr Mahathir Mohamad bertemu kumpulan hak asasi Hindraf untuk menarik kumpulan itu menyertai pakatan pembangkang sebagai terdesak.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata langkah itu juga dilihat membelakangkan pimpinan lain Pakatan Harapan apabila ia dilakukan tanpa perbincangan dengan mereka terlebih dahulu.

“Nampak tidak ada kesepakatan di situ dan tindakan Tun (Dr Mahathir) ini mungkin satu tindakan terdesak kerana membelakangkan sendiri kepimpinan pakatan mereka… ini kerana nafsu, mungkin pertimbangan peribadi dan emosi.

“Ini satu petanda apabila semakin dekat pilihan raya, saya lihat semakin terserlah keretakan pakatan antara mereka. Bukan mudah sebenarnya untuk mentadbir sebuah negara yang majmuk ini, nak tuding jari salahkan Umno memang mudah.

“Ini belum tubuh kerajaan lagi, baharu sahaja nak menjelang pilihan raya (mereka) sudah tidak ada kesepakatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Paya Besar di Kuantan, hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Paya Besar Abdul Manan Ismail, Ketua Wanita Umno Bahagian Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Ketua Pemuda Umno bahagian Mohd Shahar Abdullah.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bahawa tindakan Dr Mahathir mengajak Hindraf menyertai pembangkang tidak pernah dibincangkan sebelum ini oleh pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

Beliau berkata keadaan itu jelas menunjukkan gabungan pembangkang tiada kesepakatan dalam banyak perkara, dan jika perkara itu sekiranya mereka diberikan peluang menjadi kerajaan nanti, sudah tentu ia menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

“Saya harap rakyat dapat menilai sendiri, jangan kita gadaikan keamanan dan keharmonian (parti) yang ada sebagai alternatif ini sebenarnya bukan pilihan baik,” katanya. – Bernama, 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen