HAMPIR 600 orang meninggal dunia manakala berjuta lagi terjejas akibat banjir monsun di Asia Selatan, kata pegawai hari ini ketika operasi bantuan dan menyelamat diteruskan.
Pihak berkuasa India telah meminta bantuan tentera di dua daerah di utara Uttar Pradesh setelah hujan lebat mengakibatkan beratus-ratus kampung terkandas.
Sebanyak 33 daripada 75 daerah terjejas teruk akibat banjir yang menyebabkan 55 kematian.
“Kami telah meminta bantuan tentera untuk ke kawasan yang terjejas,” kata T P Gupta, pegawai kanan dari pihak berkuasa pengurusan bencana negeri.
Hampir 100,000 orang dipindahkan ke tempat perlindungan, dan pihak berkuasa menganggarkan dua juta lagi dilanda banjir.
Sementara di Bihar, jumlah kematian mencecah 153 orang.
Hampir 400,000 mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian dan dianggarkan 10 juta terjejas akibat banjir yang terburuk melanda negeri itu sejak 2008.
Pegawai agensi pengurusan bencana negeri Anirudh Kumar berkata lebih 5,000 pekerja kecemasan termasuk 2,000 tentera membantu operasi bantuan dan menyelamat.
“Hampir 1,300 tempat perlindungan telah dibuka bagi menampung mangsa banjir,” kata Anirudh.
Kedua-dua wilayah Bihar dan Uttar Pradesh di sempadan Nepal, dilanda banjir pada hujung minggu dengan 123 angka kematian. sekurang-kurangnya 20% daripada populasi terjejas.
Di bahagian timur, sekurang-kurangnya 60 mati akibat banjir yang melanda Assam pada kali kedua dalam tempoh kurang daripada empat bulan dan hampir 425,000 berada di kem pelarian.
Pihak berkuasa di Barat Bengal berkata banjir telah surut selepas hujan lebat, dengan 52 kematian dilaporkan. Lebih sejuta orang terjejas.
Sekurang-kurangnya 100 orang terkorban di negara jiran Bangladesh dengan hampir enam juta terjejas akibat banjir.
Beratus-ratus orang mati disebabkan tanah runtuh dan banjir semasa musim monsun tahunan yang melanda hujung selatan India pada awal Jun dan melanda rantau Asia Selatan selama empat bulan pada setiap tahun.
Ahad lepas, tanah runtuh besar berlaku di Himachal Pradesh di India menimbus dua bas penumpang, mengakibatkan 46 terbunuh.
Sementara itu lapan yang lain termasuk dua anggota tentera terbunuh akibat tanah runtuh di Uttarakhand pada Isnin lepas. – AFP, 19 Ogos, 2017.
Komen