PAKATAN Harapan (PH) perlu berhati-hati dalam menangani isu kuil Sri Maha Mariamman kerana ia mampu menjejaskan sokongan pengundi Melayu kepada parti kerajaan itu, kata penganalisis.
Mereka melihat, sentimen di akar umbi masih menunjukkan kebimbangan berhubung isu perkauman walau pemimpin kerajaan menyatakan rusuhan yang berlaku adalah kes jenayah.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat keputusan kerajaan Selangor untuk tidak membeli tanah yang menjadi tapak kuil berkenaan adalah langkah bijak.
Sekiranya rancangan itu diteruskan, ia bukan sahaja tidak disokong pengundi dan penyokong PH, bahkan memberikan imej negatif kepada kerajaan negeri, kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal berkata ia akan memberi kesan buruk kerana kerajaan Selangor waktu ini masih ketinggalan dalam meraih sokongan daripada pengundi Melayu.
“Kalau ikut apa yang kita dapatkan, naratif sokongan Melayu PH masih tertinggal, daripada aspek memenangi hati pengundi Melayu PH ketinggalan dan belum pulih ke tahap memuaskan.
“Walaupun (dalam) isu kuil ini penafian kata ia tidak libatkan kaum, apa yang kita temui (menunjukkan) ia akan dilihat sebagai isu kaum,” kata kepada The Malaysian Insight.

Sokongan rendah pengundi Melayu kepada PH katanya begitu ketara kerana institusi kerajaan yang menjaga komuniti itu dilihat lemah.
“Bukan kerajaan Selangor sahaja, tapi peringkat persekutuan, ia memberikan konotasi yang tidak memuaskan kepada PH.
“Perkara paling jelas dalam tempoh enam hingga tujuh bulan pentadbiran mereka, orang Melayu melihat kementerian orang Melayu tidak ke depan dalam memulihkan sokongan.
“Malah kementerian berkaitan pembangunan luar bandar, ekonomi orang Melayu dan Felda, tidak memberikan kelebihan kepada PH,” katanya.
Di samping itu, kerajaan Selangor juga diasak pembangkang yang antara lain menemui modal baharu dalam isu agihan air percuma kepada warga negeri itu.
Ilham Center dalam kajiannya mendapati PH hanya memperoleh 17% sokongan pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia, walaupun berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN).
Kajian itu mendapati PAS menerima 35% sokongan manakala BN menerima 46% sokongan pengundi Melayu.
Kerajaan Selangor pada Khamis mengumumkan untuk tidak membeli tanah daripada pemaju One City Development Sdn Bhd dan menyerahkan kes itu untuk diselesaikan di mahkamah.
Peguam Negara Tommy Thomas pula semalam menyatakan beliau akan menyelesaikan pertikaian ke atas tanah berkenaan melalui bidang kuasanya mengikut Akta Prosiding Kerajaan.
Mengulas keputusan kerajaan untuk tidak membeli semula tanah berkenaan, Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata ia merupakan langkah yang baik.
“Jika berlaku (pembelian semula tanah), selepas ini mana-mana pihak boleh ugut kerajaan atas dasar kaum dan agama,” katanya.
Jelasnya, bantahan ke atas pembelian tanah kuil itu bukan sahaja akan menimbulkan bantahan orang Melayu tetapi majoriti rakyat tanpa mengira kaum kerana membelakangkan undang-undang.

“Dalam konteks ini keputusan kerajaan negeri tidak beli tanah bukan berasaskan sentimen pengundi Melayu tetapi keseluruhan pengundi PH, termasuk bukan Melayu yang merasakan jika beli (tanah tapak kuil) ia akan tetapkan (duluan) tidak baik,” katanya.
Kerajaan menegaskan kes rusuhan di kuil berkenaan bukan rusuhan kaum kerana ia berpunca daripada tindakan tindakan mengambil alih tanah di tapak kuil itu.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memberitahu Parlimen sekumpulan 50 orang lelaki Melayu diupah untuk menceroboh dan mengambil alih kuil berkenaan yang menyebabkan bantahan dan rusuhan pada Isnin lalu.
Siri rusuhan berkenaan kini ditangani pasukan petugas khas Op Seafield yang ditubuhkan Putrajaya.
Pasukan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan menggabungkan anggota daripada JSJ Bukit Aman dan kontinjen polis Selangor termasuk beberapa pejabat polis daerah. – 1 Disember, 2018.
Komen