Pakatan belum putus calon PRK Cameron Highlands


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui pemberita selepas pertemuan bersama ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di ibu negara.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 November, 2018

PAKATAN Harapan (PH) belum putuskan calon bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands berikutan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Barisan Nasional bagi kerusi itu hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, PH bagaimanapun mempunyai ramai calon yang layak untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Kita belum tentukan lagi, masih awal lagi tapi kita ada ramai calon,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama ahli Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di ibu negara malam ini. 

Hakim Azizah Nawawi hari ini mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU14) terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

C. Sivarraajh memenangi kerusi berkenaan dengan 10,307 undi dalam pertandingan lima penjuru pada PRU14. 

Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya mendakwa Sivarraajh, yang juga naib presiden MIC, memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada pengundi Orang Asli di kawasan parlimen berkenaan bagi memastikan kemenangan kepada BN.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata Majlis Presiden PH akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands. – 30 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen