Bersatu sukar tembusi Sarawak, kata penganalisis


Desmond Davidson

Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad akan berdepan banyak cabaran memandangkan ia sebuah parti yang baru. ia perlu menembusi kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mendapatkan undi Melayu, kata penganalisis politik Faisal S. Hazis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

KEMASUKAN Bersatu dalam politik Sarawak esok mungkin akan menjadi permulaan bagi perjalanan yang panjang dan sukar, kata penganalisis politik Faisal S. Hazis.

“Bersatu akan berdepan banyak cabaran memandangkan ia sebuah parti yang baru.

“Namun, yang paling penting, ia perlu menembusi kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mendapatkan undi Melayu,” kata Profesor Madya Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) kelahiran Sarawak itu kepada The Malaysian Insight.

Menurut Faisal, politik di Sarawak sejak dahulu menjadi cabaran untuk parti-parti politik bertapak di negeri itu, dengan memberikan contoh parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain iaitu DAP dan PKR.

“DAP mengambil masa lebih tiga dekad untuk menembusi kawasan bandar Sarawak manakala PKR berjaya di beberapa kerusi luar bandar selepas hampir dua dekad,” katanya.

Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada April 2011 merupakan yang terbaik bagi DAP apabila berjaya menggandakan bilangan kerusi kepada 12 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). PKR pula memperoleh tiga kerusi Dayak.

Namun, itu belum cukup untuk menghalang Barisan Nasional (BN) Sarawak ketika itu mengekalkan majoriti dua pertiga.

Pada pilihan raya 2016, prestasi DAP merosot teruk apabila hilang lima kerusi manakala PKR kekal dengan tiga kerusi.

Dua lagi parti Melayu-Islam dari Semenanjung - PAS dan parti serpihannya, Amanah - masih belum memenangi sebarang kerusi (DUN atau Parlimen) sejak bertapak di Sarawak.

Tegas Faisal, Bersatu yang dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2016, mensasarkan undi orang Melayu yang merupakan minoriti di Sarawak iaitu hanya 23% daripada 2.77 juta penduduk.

Parti pemerintah Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri dari gabungan empat parti iaitu PBB yang menumpukan kumpulan etnik Melayu dan Dayak manakala tiga lagi parti - Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) - adalah parti berbilang kaum. – 30 November, 2018.

Berita penuh di sini.           


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen