.jpg)
RAKYAT Malaysia, tanpa mengira apa sahaja latar belakang agama mahupun etniknya, seharusnya menzahirkan rasa syukur kerana tidak ada nyawa yang hilang dalam kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di Subang Jaya pada 26 November 2018.
Bagaimanapun, seorang anggota bomba yang dikerah ke lokasi untuk memadam kebakaran pada kenderaan yang dibakar berhampiran kuil itu telah diserang oleh segerombolan perusuh dan dilaporkan mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
Muhammad Adib Mohd Kassim telah dimasukkan ke hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kita doakan agar beliau akan sembuh sepenuhnya.
Betapa pentingnya rakyat Malaysia untuk sama-sama sebulat suara memastikan bahawa kekecohan kuil tidak dikaitkan dengan isu-isu agama atau etnik walaupun ia telah menimbulkan ketidakselesaan dalam masyarakat.
Jelas sekali bahawa penempatan semula kuil merupakan isu yang telah mendatangkan keperitan sekaligus menjadi penyebab tercetusnya ketidaktenteraman ini.
Penyelesaian yang baik iaitu dengan menghormati integriti rumah ibadat harus dicapai melalui perbincangan dan perundingan secepat mungkin.
Tindakan segera dan pantas oleh pihak berkuasa adalah untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden 26 November ini. Pihak berkuasa bukan sahaja harus menghukum para pelakunya tetapi juga mengenalpasti siapa dalang utama di sebaliknya.
Pencetus kekecohan ini perlu ditangani sewajarnya mengikut undang-undang.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah memberikan jaminan ini kepada rakyat Malaysia.
Peristiwa kekecohan kuil ini juga telah mendedahkan kecenderungan tertentu dalam masyarakat Malaysia yang telah pun wujud beberapa kali sebelum ini. Tiap kali isu berbau etnik atau agama tercetus, media sosial sering memberi tafsiran yang berat sebelah atau berunsur bias dan prasangka.
Wacana media sosial seperti ini akan memburukkan lagi hubungan etnik. Ia mewujudkan perbalahan antara dua pihak. Ia membawa kepada peningkatan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat.
Malaysia bukanlah satu-satunya negara di dunia ini yang mengalami hal ini. Perbalahan etnik atau perkauman telah menjadi lebih ketara di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan India sebahagiannya kerana peranan negatif yang dimainkan oleh media sosial.
Melalui interaksi dengan kumpulan dalam masyarakat lain, kita seharusnya dapat membangunkan pemahaman yang lebih baik mengenai fenomena ini yang juga merupakan satu cabaran baru yang dihadapi oleh masyarakat berbilang agama dan berbilang etnik pada abad ke-21. – 30 November, 2018
*Dr. Chandra Muzaffar merupakan pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM).
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen