-2.jpg)
TAHNIAH dan terima kasih saya ucapkan kepada menteri besar Johor kerana mengulangi dan meneruskan sebahagian besar usaha, program dan projek kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdahulu dalam Belanjawan Johor 2019.
Jika menteri besar rajin membaca, pasti beliau sedar bahawa banyak usaha, program dan projek kerajaan BN yang terdahulu dimasukkan semula dalam Belanjawan Johor 2019.
Perkara ini sudah pastinya membuktikan dua perkara. Pertama, ia menunjukkan bahawa apa yang diusahakan oleh kerajaan BN sebelum ini berjaya serta membuahkan hasil.
Kedua, segala yang kami usahakan sebelum ini nyata selari dengan kehendak dan keperluan rakyat. Jika tidak, mana mungkin semua itu diteruskan.
Kesimpulan ringkas yang boleh dibuat daripada Belanjawan Johor 2019 adalah:
a. Sebahagian besar titik sentuhan yang diumumkan adalah bersamaan atau sekadar lanjutan daripada inisiatif yang diusahakan selama 5 tahun lepas.
b. Terdapat beberapa inisiatif yang bukan sahaja tidak ditambah baik, malah dikurangkan nilai dan cakupannya tanpa justifikasi yang jelas. Sedangkan kedudukan kewangan Johor adalah kukuh dan menokok.
c. Banyak aspek penting dan segmen utama masyarakat seperti komuniti Felda dan komuniti Borneo (Sabah dan Sarawak) tidak disentuh dalam Belanjawan Johor 2019.
d. Belanjawan Johor 2019 ini mempamerkan usaha kerajaan negeri untuk sekadar menukar dan menjenamakan semula sahaja inisiatif yang sedia wujud sebelum ini.
e. Terdapat pelbagai titik fokus Belanjawan Johor 2019 adalah pelaksanaan tawaran dalam Manifesto BN Johor 2018 yang dibentangkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu. – 30 November, 2018.
* Mohamed Khaled Nordin adalah naib presiden Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen