Waris mangsa serah serpihan didakwa dari pesawat MH370


Mohd Farhan Darwis

Objek berkenaan merupakan serpihan dipercayai daripada panel lantai penumpang pesawat Boeing 777 yang menurut anggota keluarga tersebut ditemui di Madagascar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 November, 2018.

WARIS mangsa dan anak kapal pesawat MH370 hari ini tampil dengan beberapa serpihan didakwa daripada pesawat malang itu untuk mendesak kerajaan menyambung semula siasatan.

Objek berkenaan merupakan serpihan dipercayai daripada panel lantai penumpang pesawat Boeing 777 yang menurut anggota keluarga tersebut ditemui di Madagascar.

Seorang waris mangsa, Grace Nathan memberitahu pemberita, penemuan serpihan itu memberi harapan bahawa pencarian perlu diteruskan.

“Dengan adanya serpihan yang ditemui di pantai bermakna kita tidak boleh berhenti daripada terus mencari pesawat itu.

“Jika ada syarikat yang terbuka untuk mencari pesawat dengan syarat tiada bayaran jika tidak menemuinya, kami harap kerajaan akan terima,” kata Nathan.

Beliau menyerahkan serpihan berkenaan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sidang media di pejabat kementerian itu petang ini.

Turut hadir ketika penyerahan itu adalah penyiasat bebas, Blaine Gibson, yang menjalankan pencarian misteri kehilangan MH370 secara persendirian.

Jelasnya, serpihan yang didakwanya daripada panel lantai di ruang penumpang pesawat itu dalah antara penemuan paling penting kerana ia menjelaskan keadaan pesawat itu.

“Saya sudah menemui pakar persendirian yang mengatakan serpihan itu berasal daripada panel lantai penumpang milik pesawat Boeing 777.

“Jika pihak berkuasa boleh mengesahkan secara rasmi, ia adalah penemuan penting kerana ini menunjukkan lantai pesawat hancur berkecai,” katanya.

Serpihan itu mempunyai nombor dan label yang masih boleh dibaca, katanya.

Menurutnya, kesemua lima serpihan itu ditemui penduduk dan nelayan di pantai Madagascar di antara Disember 2016 dan Ogos 2018.

Ia ditemui tiga lokasi berbeza sepanjang pantai Madagascar yang berjarak ratusan kilometer antara satu sama lain, katanya.

Mengulas penemuan itu, Loke berkata, kerajaan bersedia untuk menyambung semula usaha pencarian sekiranya terdapat bukti baharu.

“Kita tidak akan menutup sebarang kemungkinan jika terdapat bukti-bukti baharu, kalau ada sesiapa yang mempunyai bukti yang boleh dipercayai kita terbuka untuk membuka semula usaha pencarian,” kata Loke.

Setakat ini sebanyak 27 serpihan dikumpulkan dari pelbagai tempat di seluruh dunia, namun hanya tiga serpihan sayap yang dihanyutkan di sepanjang Lautan Hindi disahkan milik pesawat itu.

Kerajaan pada Mei lalu menghentikan operasi selepas pencarian selama tiga bulan yang dijalankan oleh firma Ocean Infinity di kawasan seluas 112,000 km persegi di Lautan Hindi menemui jalan buntu.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014.

Kehilangan pesawat itu disifatkan sebagai misteri penerbangan terbesar dunia.

Para penyiasat Malaysia dan antarabangsa percaya pesawat MH370 melencong beribu kilometer dari haluan asalnya sebelum menjunam ke dalam Lautan Hindi. Bagaimanapun, sebab dan lokasi pesawat itu masih menjadi tanda tanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah menyatakan kesanggupan kerajaan untuk mempertimbang menyambung semula pencarian hanya jika petunjuk baharu ditemui.

Pada Julai, penyiasat mengeluarkan laporan setebal 495 muka surat yang menyatakan kawalan ke atas pesawat itu sengaja dimanipulasi, namun mereka tidak dapat menentukan pihak yang bertanggungjawab. – 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen