Selepas 8 jam soal siasat SPRM, Mahdzir dibenar pulang


Christopher Rabin

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid adalah orang ketiga disoal siasat SPRM berkaitan projek solar sekolah pendalaman Sarawak bernilai RM2.5 bilion.

SELEPAS lapan jam disoal siasat berkaitan projek solar hibrid untuk sekolah pendalaman Sarawak, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid meninggalkan bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib presiden Umno itu meninggalkan ibu pejabat agensi anti rasuah itu sekitar jam 6.15 petang menaiki kereta Mercedes warna putih, kereta sama yang membawanya pagi tadi.

Sebelum ini, sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight yang bekas menteri itu dijangka ditahan semalaman sebelum didakwa esok kerana rasuah.

Bagaimanapun, beliau dibenarkan pulang selepas soal siasat.

Ahli Parlimen Padang Terap itu juga tidak bercakap dengan media yang berkumpul menunggunya.

Mahdzir sebelum ini pernah disoal siasat bulan lepas oleh SPRM berkaitan pemberian kontrak projek solar untuk sekolah pendalaman Sarawak.

Dilaporkan yang terdapat keraguan dalam pemberian tender projek bernilai RM2.5 bilion itu kerana ia melibatkan arahan langsung pemimpin kanan.

Beliau adalah orang ketiga disoal siasat berkaitan projek tersebut.

Awal bulan ini, isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dan bekas pembantunya, Rizal Mansor didakwa berkaitan projek tersebut. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen