Kerajaan lebih penting daripada individu, Najib beritahu orang Langkawi


Amin Iskandar Noel Achariam

Najib Razak berada di Langkawi kubu kuat Dr Mahathir hari ini yang dilihat sebagai cubaan mengekang pengaruh Bersatu dan Dr Mahathir di sana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak memberitahu penduduk Langkawi kerajaan lebih penting daripada individu hari ini, menambah yang individu tidak akan berjaya membangunkan negara tanpa sokongan dan kekuatan parti.

“Perjuangan ini berjaya kerana kita ada apa? Kita ada kerajaan. Kerajaan tidak bergantung kepada individu.

“Ya kita kenang sumbangan individu. Tapi individu tidak boleh menyumbang kalau tidak ada parti yang kuat menyokong dia selama ini,” kata Najib semasa berucap pada program “Pemimpin Bersama Rakyat” di Langkawi, Kedah hari ini, dipercayai merujuk kepada Dr Mahathir.

Dr Mahathir sangat berpengaruh di Langkawi kerana jasa-jasanya semasa menjadi perdana menteri dan parti Bersatu yang dipimpinnya sedang mengorak langkah di pulau itu.

Najib berkata, institusi Umno tidak boleh diketepikan kerana ia akan menjamin kelangsungan perjuangan membela nasib orang Melayu.

“Kita tidak boleh berdasarkan kepada personaliti. Sebab ‘personality centric’ bukan jaminan perjuangan dan masa depan.

Sebab pemimpin boleh pergi dan pemimpin boleh datang. Berapa lama pun jadi pemimpin satu hari kita akan pergi,” katanya.

Menurut Najib, selagi ada parti (Umno), perjuangan boleh diteruskan selama-lamanya.

“Selama itu kita boleh membela untung nasib rakyat. Untuk membawa perubahan.

“Untuk melakukan transformasi kita memerlukan masa. Ia akan menjangkau tempoh waktu akan melangkau satu, dua, tiga, empat, lima generasi dan seterusnya,” katanya.

Pada majlis itu Najib turut melancarkan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM247 juta.

Najib Razak berkata untuk perubahan berlaku ia memerlukan masa menjangkau generasi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Ogos, 2017.

Selain itu Najib turut melancarkan Jeti Nelayan di Pulau Chenang bernilai RM9.16 juta.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar, Menteri Pertanian Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah.

Majlis itu juga menampilkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah seperti kereta, motorsikal, basikal dan pelbagai barangan elektrik.

Seorang hadirin Hasnah Hassan, 49, berkata, beliau membawa keluarganya hadir kerana tertarik dengan cabutan bertuah yang diadakan pada majlis berkenaan.

Majlis di Langkawi itu turut menampilkan cabutan bertuah yang memaparkan pelbagai hadiah menarik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazri Sufari, 19 Ogos, 2017.

“Harap-harap akak boleh menang kereta. Akak nak jugak tengok PM berucap,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara Amirul Azmi, 18, berkata, beliau datang kerana tertarik untuk melihat perdana menteri.

“Saya tidak mengharapkan terlalu besar. Saya sudah gembira jika dapat memenangi  apa-apa hadiah kecil yang ada,” katanya.

Manakala Muhamed Alif Abdul Karim, 15, tidak pernah melihat wajah Najib secara langsung sebelum ini.

“Ini sebab mengapa saya datang. Tapi saya juga harap untuk memenangi hadiah motorsikal dalam cabutan bertuah,” katanya. – 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen