PEMBINAAN mana-mana rumah ibadat perlu mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa hadapan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir berkata kerajaan tidak mahu insiden kekecohan seperti mana yang berlaku di kuil Sri Mariamman USJ baru-baru ini berulang kerana pembinaannya bukan di atas tanah milik kuil tersebut.
“Masalah sekarang kuil dibina di mana-mana sahaja walaupun di atas tanah orang lain. Banyak kuil dibina di atas tanah yang bukan milik mereka.
“Kerajaan sekarang ambil keputusan bahawa rumah ibadat seperti masjid, kuil atau gereja tidak boleh dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
“Ini akan menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat Bersatu Petaling Jaya hari ini.
Masalah berhubung pemilikan tanah yang menjadi tapak kuil Sri Maha Mariamman itu memuncak Isnin lalu sekumpulan samseng upahan dilaporkan menyerbu tapak kuil itu pada jam 2.15 pagi.
Tindakan samseng berkenaan menyebabkan kecederaan dan lebih 10 kereta terbakar. Rusuhan susulan pada hari berikut pula menyebabkan seorang anggota bomba cedera parah.
Pihak pentadbiran kuil berkenaan menegaskan tidak akan mengosongkan kuil itu dan kerajaan negeri dijangka akan mengambil alih tanah berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Dr Mahathir berkata kedudukan tanah berkenaan masih tidak jelas.
Bagaimanapun, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kuil lama seperti Sri Maha Mariamman kerana ia akan menimbulkan bantahan orang ramai, katanya.
“Keadaan masih tidak jelas pada ketika ini. Pada satu ketika kerajaan negeri Selangor memutuskan kuil tersebut akan kekal tetapi dalam keputusan mahkamah kemudiannya mengatakan, kuil perlu dipindah dan pampasan perlu diberikan.
“Dalam kes-kes yang berlaku sekarang, kita tidak boleh buat apa-apa. Kerajaan tidak boleh lakukan apa-apa terhadap kuil lama.
“Kalau kita sentuh kuil, akan ada banyak bantahan dan reaksi. Jadi kita tidak mahu jauhi sebarang masalah,” katanya. – 28 November, 2018.
Komen