PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengutuk dalang yang mengaturkan sekumpulan samseng Melayu menceroboh kuil Sri Mahamariamman di USJ pada Isnin lalu.
Dr Mahathir berkata kumpulan samseng itu turut dianggotai pemegang status penduduk tetap, yang tidak memahami budaya tempatan.
“Mereka tidak fikir panjang apabila mereka mengatur orang Melayu untuk ambil alih kuil Hindu. Mereka ini orang asing, mereka tidak faham amalan atau budaya Malaysia,” ujarnya.
Walaupun beliau tidak menyebut nama syarikat itu, Dr Mahathir dipercayai merujuk kepada Ayala Corporation yang berpangkalan di Filipina, yang juga merupakan pemilik majoriti MCT Bhd.
MCT Bhd pula memiliki One City Development Sdn Bhd, pemilik sah tanah di mana kuil itu terletak.
Dr Mahathir juga merasakan peguam yang didakwa membayar sejumlah RM150,000 kepada samseng untuk menceroboh kuil tersebut sebelum pihak berkuasa tiba untuk merobohkannya pada pagi Isnin harus dibawa ke muka pengadilan.
“Sekiranya kita mengetahui siapa yang melakukan perkara ini, peguam atau peguam negara perlu cari beberapa kes terhadapnya mereka,” katanya kepada media di Institut Jantung Negara (IJN) selepas melawat anggota bomba yang cedera akibat rusuhan di luar kuil itu semalam.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini semasa sidang media mendedahkan bahawa kumpulan samseng telah diupah seorang peguam yang dikaitkan dengan One City Development Sdn Bhd.
Perdana Menteri juga berkata para penganut di kuil tersebut tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri yang tidak selari dengan undang-undang.
“Dikatakan bahawa pihak pemaju telah menghantar orang ke kuil. Apabila penganut-penganut India melihat orang Melayu masuk ke dalam, mereka bertindak balas terhadap mereka.
“Penganut-penganut itu sepatutnya memanggil polis dan melaporkan ada penceroboh di kuil namun mereka tidak melakukannya.
“Mereka ambil tindakan sendiri, (dan ia) menyebabkan masalah,” katanya.

Dr Mahathir berkata serangan terhadap anggota bomba Muhammad Adbib Mohd Kassim, 24, adalah satu percubaan membunuh.
Beliau berkata Adib akan mati jika tidak mendapat bantuan doktor dan mesin sokongan hidup.
“Ini akibatnya, jika tidak beliau akan mati. Sekiranya beliau mati, pertuduhan itu akan dianggap sebagai (kes) bunuh,” katanya lagi. – 28 November, 2018.
Komen