JUARA renang Olimpik, warga Singapura Joseph Schooling memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas tercetus kekecohan apabila beliau berjanji untuk “ajar mereka” di kejohanan Sukan SEA 2017 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Schooling, 22, berkata beliau sangat kesal dengan komennya itu yang menyebabkan beliau menjadi sasaran peminat di Malaysia.
Terdahulu, beliau berkata kenyataan itu terkeluar daripada konteks maksudnya yang sebenar.
“Jika saya menyinggung perasaan sesiapa, saya minta maaf. Itu bukan niat saya,” kata pemenang pingat emas Olimpik bagi acara renang 100meter, kepada wartawan selepas tiba di Kuala Lumpur.
“Saya benar-benar minta maaf dan saya tidak bermaksud demikian.”
Schooling membawa pulang emas pertama dan satu-satunya emas Olimpik untuk Singapura menerusi kejohanan dunia di Rio pada 2016, sedangkan negara jiran Malaysia masih belum menghasilkan juara Olimpik.
Perenang yang berlatih di Texas itu menang sembilan pingat emas di Sukan SEA Singapura 2015, tetapi beliau berkata akan bertanding dalam enam acara di Kuala Lumpur.
“Saya akan buat yang terbaik. Saya akan melakukan terbaik dan biarkan keputusannya yang berbicara. Kami ada dua hari untuk membuat persiapan, jadi harapnya kami dapat pencapaian baik dalam kejohanan itu.
“Ia sudah pasti bukannya seperti sekadar latihan untuk saya. Setiap perlumbaan, kita perlu laju. Ada banyak perenang hebat di rantau Asia Tenggara jadi saya perlu jadi yang terbaik dan membanggakan negara,” katanya. – AFP, 19 Ogos, 2017.
Komen