Penulis China ditangkap kerana membunuh 22 tahun lalu


SEORANG penulis kisah jenayah yang pernah memenangi anugerah di China ditangkap kerana membunuh 22 tahun lalu.

Selama 22 tahun, polis di daerah Zheijiang cuba menyelesaikan kes pembunuhan kejam sebuah keluarga yang berlaku di rumah tumpangan kendalian mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan polis, Liu Yongbiao, 53 tahun bersama-sama seorang lagi lelaki ditahan di rumahnya di daerah Anhui minggu lepas.

Mereka mengaku melakukan pembunuhan itu.

The Paper, sebuah penerbitan di China melaporkan ketika Liu digari dia berkata:

“Saya sudah tunggu bertahun lamanya untuk masa (ditangkap) ini berlaku.”

Liu yang merupakan ahli Persatuan Penulis China, sebuah badan sastera berpengaruh di China mempunyai kerjaya cemerlang dengan perjanjian terbitan buku dengan syarikat penerbitan besar China, malah novelnya juga pernah diadaptasi ke drama telivisyen.

Dia dikatakan sedang menulis novel kedua berjudul “The Beautiful Writer Who Killed” yang merupakan sekuel kepada novel pertamanya, “The Guilty Secret”. Novel kedua itu mengisahkan seorang tukang besi yang membunuh tetapi tidak pernah ditangkap.

Pembunuhan yang berlaku pada petang 29 November 1995 itu bermula apabila dua orang lelaki mengunjungi sebuah rumah tumpangan untuk merompak. Tetapi, mereka membunuh pasangan yang menjaga rumah tumpangan itu, cucu mereka serta seorang lagi tetamu rumah tumpangan itu.

Kekurangan teknologi forensik ketika itu membantutkan operasi polis, dan mereka hanya mempunyai satu petunjuk iaitu suspek pembunuh bercakap dalam dialek Anhui.

22 tahun kemudian, selepas polis mengadakan ujian DNA barulah pembunuh itu dapat dikesan, salah seorangnya adalah penulis terkenal. – AFP, 19 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen