Keadaan anggota bomba diserang perusuh bertambah baik


Christopher Rabin

Muhammad Adib Kassim cedera parah diserang perusuh ketika menjalankan misi menyelamat di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada Isnin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 November, 2018.

KEADAAN anggota bomba Muhammad Adib Kassim bertambah baik sejak dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN), Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Hamdan Wahid.

“Daripada aspek kesihatan, beliau semakin bertambah baik berbanding malam semalam.

“Semalam, pada skala 1-10, keadaannya adalah 4, tetapi sekarang bertambah ke 6,” katanya kepada wartawan di IJN hari ini.

Anggota bomba berusia 24 tahun itu sebelum ini di rawat di sebuah hospital di Subang Jaya selepas cedera diserang perusuh di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada Isnin.

Beliau patah tulang rusuk dan cedera di paru-paru.

IJN meletakkan Adib dalam mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) disebabkan kecederaan parah dihadapinya.

“Mesin ini akan menyediakan sokongan peredaran dan pertukaran udara untuknya disebabkan kecederaan serius di dada,” kata IJN dalam satu kenyataan.

Hamdan menambah yang pasukan Adib di Balai Bomba Subang Jaya juga tidak tidur sepanjang malam tadi.

“Bagaimanapun, moral mereka masih kuat, dan jika apa-apa berlaku di kuil, mereka akan ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) menurut arahan polis,” katanya.

“Inilah semangat anggota bomba, mereka menggadaikan nyawa demi keselamatan awam.” – 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen