KERAJAAN Perancis semalam mengumumkan ia akan membuat bayaran semula untuk pembelian kondom yang dibeli dengan preskripsi doktor bagi memerangi penyebaran HIV dan penyakit berjangkit seksual yang lain.
Langkah itu akan meliputi kondom buatan Perancis, Eden yang diperolehi melalui prekripsi doktor atau bidan diumumkan menjelang Hari AIDS Dunia pada Sabtu.
Dihasilkan oleh makmal Majorelle dan hanya dijual di farmasi, kondom Eden dijual murah berbanding jenama terkenal lain seperti Durex atau Manix dengan harga 2.60 euro untuk kotak 12 kondom.
Kondom itu adalah yang pertama diluluskan untuk bayaran semula pihak berkuasa kesihatan Perancis, salah sebuah negara Eropah yang berbuat demikian.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut memuji pengumuman itu sebagai “menghantar isyarat kuat yang ia (kondom) bukanlah alat mainan seks tetapi alat pencegahan yang serius” dalam perjuangan menentang penyebaran jangkitan penyakit seksual.
Julai lalu, kajian jabatan kesihatan menunjukkan kes chlamydia dan gonococcus- dua penyakit STI yang biasa- meningkat tiga kali ganda di Perancis antara 2012 hingga 2016 dengan pesakit teramai dalam kumpulan usia 15-24 tahun.
Kajian itu menunjukkan peningkatan itu disebabkan penduduk negara itu mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang ramai dan tidak menggunakan kondom secara sistematik.
Ditanya mengapa jenama itu dipilih, jurucakap Majorelle yang ditubuhkan pada 2012 dengan matlamat mengurangkan jurang akses produk kesihatan berkata: “Kami yang pertama ditanya”.
Agnes Buzyn, menteri kesihatan yang juga doktor bertauliah memberi amaran yang risiko jangkitan HIV antara golongan muda semakin meningkat kerana mereka jarang menggunakan kondom.
Hampir 6,000 kes baharu jangkitan HIV dikesan pada 2016- jatuh lima peratus sejak 2013- menjadikan jumlah mereka yang hidup dengan HIV di Perancis seramai 172,000 orang.
Buzyn memberi amaran yang golongan muda “menggunakan kondom buat pertama kali mengadakan seks tetapi semakin jarang menggunakannya selepas itu.”
Majorelle memetik kajian menunjukkan 75% orang muda akan lebih menggunakan kondom jika kosnya ditanggung kerajaan.
Katanya, kerajaan akan menanggung 60% kos kondom dan berharap pembekal insuran menangguh selebihnya.
Usaha itu mendapat pujian NGO yang memperjuangkan HIV/Aids.
“Apa sahaja yang memudahkan akses pencegahan adalah berita baik,” kata Florence Thune, ketua Sidaction.
“Tidak sepatutnya wujud halangan kewangan, walau apa sahaja kaedahnya,” katanya.
“Ia satu lagi sokongan kepada usaha kami,” kata Caroline Izambert, seorang aktivis dalam kumpulan pencegahan Aides HIV. – AFP, 28 November, 2018.
Komen