SEBUAH hospital di China menafikan terlibat dalam eksperimen kontroversi mengubah genetik bayi pertama di dunia.
Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Shenzhen dalam kenyataannya berkata penyebaran dokumen kononnya hospital itu meluluskan eksperimen tersebut sebagai palsu.
Pihaknya turut meminta polis menyiasat perkara itu.
“Kita sentiasa membantah eksperimen yang melanggar etika dan moral manusia,” kata pihak hospital menerusi laman webnya.
Eksperimen itu yang diketuai oleh profesor tempatan He Jiankui, mengubah DNA bayi kembar perempuan beberapa minggu lalu untuk mengelakkan mereka dijangkiti virus HIV.
Tindakannya itu mengundang perdebatan hangat dalam komuniti saintifik.
Beberapa pihak memberi amaran bahawa tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, berbahaya dan tidak matang.
Saintis China juga mengutuk eksperimen itu dan berharap kerajaan memperuntukkan undang-undang khas berhubung perkara itu. – AFP, 27 November, 2018.
Komen