STEVE Bannon, ketua strategi dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meninggalkan White House susulan respons presiden terhadap keganasan yang berlaku dalam perhimpunan pelampau kulit putih hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, Bannon, 63, berjanji untuk terus memperjuangkan agenda Trump dari luar White House.
Dalam satu temu bual dengan Bloomberg, Bannon berkata beliau terus komited dengan dasar populis nasionalis yang membawa Trump berjaya menjadi presiden.
“Saya meninggalkan White House dan pergi berperang untuk Trump – di Capitol Hill, dalam media dan korporat,” katanya.
Kehadiran Bannon di White House memang mendapat bantahan sejak dari awal, dan dengan Trump dikecam kerana mengatakan penunjuk perasaan anti perkauman turut sama bersalah hingga berlakunya keganasan di himpunan neo-Nazi dan pelampau kulit putih di Charlottesville, Virginia, minggu lalu menyebabkan Trump berdepan tekanan supaya melepaskan Bannon.
Trump, yang menjadi tokoh politik terkemuka dengan membangkitkan keraguan sama ada Barack Obama, presiden pertama AS berkulit hitam benar-benar lahir di AS, turut mengutuk neo-Nazi dan Ku Klux Klan beberapa kali pada minggu ini tetapi sebahagian spektrum politik berkata apa yang dilakukannya itu masih belum cukup.
Presiden itu sedang bermesyuarat dengan penasihat keselamatan negara di Camp David untuk berbincang mengenai keadaan di Afghanistan ketika White House mengumumkan pelepasan jawatan Bannon.
Bagaimanapun, White House tidak menyatakan secara khusus sama ada beliau meletakkan jawatan atau dipaksa berbuat demikian. – AFP, 19 Ogos, 2017.
Komen