Jauhi sengketa berkait agama dan bangsa


ISLAM mengajar penganutnya saling menghormati dan memelihara kemuliaan tempat ibadat tanpa mengira agama.

Justeru, kalau benar telah berlaku pencerobohan rumah ibadat, tindakan pihak yang menceroboh atau merosakan rumah ibadat sehingga membahayakan individu di sekitarnya sama sekali tidak boleh diterima.

Malah Allah SWT telah melarang rumah-rumah ibadat diceroboh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Haj, ayat 40 yang bermaksud:

“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Islam meletakkan kedudukan rumah ibadat sebagai satu tempat yang perlu dijaga kehormatannya.

Sehubungan itu, saya menyeru agar isu yang melibatkan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor sekarang ini diselesaikan dengan cara yang paling aman dan terbaik.

Semua tindakan provokasi oleh mana-mana pihak hendaklah dielakkan dan dihentikan serta-merta.

Dalam pada itu, saya juga berharap agar pihak berkuasa berkenaan melakukan siasatan dengan penuh adil dan terperinci berhubung kekecohan tersebut agar pihak yang bersalah diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas perundangan.

Mana-mana pihak yang enggan menghormati undang-undang negara wajar dikenakan tindakan tegas tidak kira siapa mereka.

Semua pihak juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara kita yang dikecapi selama ini terus dijaga.

Semoga Allah terus merahmati Malaysia. – 27 November, 2018.

*Dr Mujahid Yusof adalah menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama islam).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen