DUA orang mati dan enam cedera dalam kejadian tikam di bandar raya Turku di Finland semalam. Pegawai polis berjaya menembak salah seorang suspek namun memberi amaran beberapa orang suspek masih lagi bebas.
“Seramai lapan mangsa tikaman, dua mati dan enam cedera.
“Polis menembak suspek di kakinya dan dia ditahan,” tulis polis di Twitter. “Kami nasihatkan orang ramai supaya menjauhi bandar Turku.”
Dalam kejadian itu, stesen televisyen tempatan Yle melaporkan beberapa saksi berkata mereka nampak beberapa orang terbaring di atas jalan di kawasan yang sibuk di bandar itu. Perniagaan juga dihentikan.
“Kerajaan sedang mengikuti kes ini secara dekat dan operasi polis sedang berjalan,” Perdana Menteri Juha Sippila menulis di Twitter menjelang mesyuarat kabinet.
Stesen televisyen MTV3 malaporkan polis telah meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang dan stesen-stesen keretapi.
Pada 2012 bekas perdana menteri Finland Jyrki Katainen berjaya melepaskan diri daripada serangan tikaman di Turku semasa berkempen untuk pemilihan perbandaran.
Lelaki yang menghampirinya dengan sebilah pisau itu didapati mempunyai masalah mental dan tiada dakwaan dikenakan kepadanya. – AFP, 19 Ogos, 2017.
Komen