Melayu, ketuanan kaum dan BlackKKKlansman


Hadri Shah

“untuk perasaan cinta dan kebaikan, perkara utama yang setiap manusia dambakan”

FILEM BlackKKKlansman adalah contoh simbol kasih sayang Tuhan terhadap makhluk perosak ciptaan-Nya bernama manusia.

Buktinya, ketika manusia mabuk dinoda perasaan ketuanan, Tuhan menggetarkan hati pengarah prolifik Spike Lee bersama krew-krew filemnya membikin filem berdasarkan kisah benar yang bertemakan perkauman.

Saya secara peribadi menggemari lakonan “cool” watak utama filem ini; John David Washington – anak kepada pelakon fenomena Denzel Washington.

John memegang watak John Stallworth, pemuda kulit hitam pertama yang diterima berkhidmat di Jabatan Polis Colorado Spring.

Stallworth yang berambut afro bersama-sama rakan sekerjanya berketurunan Yahudi bergandingan dalam misi rahsia untuk membongkar dan seterusnya mensabotaj gerakan ultra nasionalis kulit putih Amerika?, Klu Klux Klan.

Mesej filem ini jelas: persengketaan antara kaum mesti ditumpaskan. Ia langsung tidak menguntungkan sesiapa; melainkan manusia terlalu ego, yang merelakan hidupnya diisi dengan kebencian dan sifat prejudis.

Filem yang mengangkat tema perkauman sebegini selalunya diisi dengan dialog berat dan jalan cerita yang meresahkan.

Berbeza dengan hasil seni Spike Lee ini, saya lebih banyak tertawa kerana dialog-dialognya yang lucu amat, berserta jalan cerita yang rileks. Sudah tentu filem ini bertambah “cool” kerana atmosfera “funky” tahun 70-an berlegar-legar di keseluruhan filem.

Saya tidak bercadang mengulasnya; itu bukan tujuan asal saya menulis artikel ini. Saya terpanggil untuk menulis kerana terganggu tentang tiga perkara ini.

1. Video seorang lelaki Melayu tulen berserban memberi amaran kepada bangsa Cina supaya tidak mencetuskan kemarahan dan mempertikai status bangsa dan agamanya. Dia mengancam akan menghantar “parang terbang” jika amarannya tidak dipedulikan.

2. Mesej-mesej berbaur perkauman yang saya terima di aplikasi Whatsapp. Semakin lama, semakin buruk. Kebencian antara kaum sedang diraikan. Sikap prasangka, keji mengeji antara satu sama lain adalah zikir mereka pada setiap jam.

3. Kisah klasik pemuda bernama Edi Rejang – pejuang bangsa Melayu/Islam yang menghina seorang promoter perempuan Cina.

Ketiga-tiga drama ini mengingatkan saya persamaan antara gerakan Klu Klux Klan dalam filem BlackKKKlansman dan ketiga-tiga kes di atas.

Golongan ini membenci, bersikap prejudis dan menganggap diri mereka lebih “superior” daripada bangsa lain. Bagi mereka, bangsa lain pendatang dan tidak berkesempatan ke atas hak yang sama.

Pada masa yang sama, mereka menunggang agama? – menjustifikasikan tingkah laku “memerangi” kaum yang berbeza agama dengan mereka kerana usaha mempertahankan agama yang kononnya ditindas.

Saya tergelak apabila masih ada lagi golongan “ultra right wing” Melayu menganggap masalah mereka boleh diselesaikan dengan sebilah parang terbang. Kebodohan tidak pernah gagal membuat saya ketawa!

Tetapi di sebalik itu juga, saya menangis mengenangkan jari tengah Edi Rejang ketika dia memprovokasi promoter perempuan berbangsa Cina sambil berkata: “ini bumi Melayu, cakap Melayu!”

Saya tidak tahu apa yang boleh saya janjikan kepada anak-anak tentang dunia masa depan tanpa kasta, tanpa kebencian apabila hari ini, orang tua mereka sendiri menari ketika rentak perkauman dipalu-palukan.

Hari ini, setiap bangsa bermati-matian mahu mempertahankan hak dan keistimewaan masing-masing.

Mereka kata hak mereka sedang diancam. Mereka kata ketuanan mereka dimain-mainkan. Mereka kata agama mereka diperleceh-lecehkan.

Namun tidak ada seorang pun manusia yang sihat akalnya bangun untuk berpesan-pesan tentang kemanisan perkongsian hidup, tentang kewajipan bertoleransi, tentang kemestian berkompromi.

Tidak ada sekelompok manusia pun yang berjiwa besar berani mengibar panji “cinta pada akhirnya menumpaskan kebencian” di tengah-tengah hiruk pikuk manusia rasis.

Kerana manusia lunatik ini, mereka lupa bahawa walau sebesar mana pun perbezaan, ia perlu dirayakan. Bukan dijadikan sebab merusuh dan membenci antara satu sama lain.

Percayalah, sejarah lalu seperti tragedi 13 Mei sepatutnya dijadikan pedoman hidup. Hanya manusia hilang akal saja menggunakan 13 Mei untuk mengancam menerbangkan parang-parang di udara.

Mahu atau tidak, kita mesti mengakui bahawa hidup ini mesti dikongsi. Ia bukan lagi soal siapa lebih istimewa, siapa mesti dihormati.

Saya tidak fikir sebuah kehidupan sosial yang lestari boleh dikecapi sekiranya sesebuah bangsa itu masih lagi merasa diri mereka lebih istimewa atau berhak ke atas negeri ini.

Tidak! Keharmonian tidak terbit dalam keadaan begitu, tuan-tuan.

Bahkan keharmonian dengan sendirinya dinikmati apabila ego ketuanan dimansuhkan?.

Kebahagiaan memberi laluan kepada setiap jiwa untuk mempunyai kesempatan, peluang dan hak yang bersama-sama dikongsi.

Saya sentiasa optimis bahawa masalah perkauman boleh diselesaikan oleh anggota masyarakat sendiri. Ia tidak semestinya boleh dibereskan golongan atasan.

Tinggal lagi sama ada masyarakat hari ini, baik bangsa apa sekalipun, sudah bersedia untuk melepaskan “supremacy” lalu menggantikannya dengan semangat solidaritas yang tidak terbatas.

Inilah yang dipesan-pesankan Mikhail Bakunin kepada umat manusia sejak 1867.

Kata Bakunin: “Apa sebenarnya yang kita maksudkan dengan menghormati nilai kemanusiaan?

Ia adalah kesediaan kita mengiktiraf hak dan martabat seorang manusia yang bukan dari warna kulit yang sama”. – 27 November, 2018.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen