Isu kuil di Seafield, kerajaan negeri rundinglah dengan pemaju


MENTERI Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya salahkan pihak polis. Sepatutnya mereka bekerjasama dengan pihak polis mencari dalang sebenar insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ untuk dibawa ke muka pengadilan dan menyelesaikan pertelingkahan secara aman.

Apabila ada sesuatu krisis, Kerajaan sepatutnya mengecilkan masalah dan bukannya memburukkan lagi.

Menteri ini mewakili kerajaan Persekutuan PH. Pihak berkuasa negeri dan persekutuan, termasuklah polis juga adalah di bawah kuasa kerajaan PH. Hal ehwal tanah yang berkaitan dengan pemindahan hak milik kuil ini kepada pemaju juga di bawah bidang kuasa kerajaan PH Selangor.

Menteri dan kerajaan PH perlu menyelesaikan perkara ini sesama mereka dan bukannya menuduh sesama sendiri dalam kerajaan dan menghasut rakyat ke jalanan pula yang boleh mencetuskan rusuhan kaum.

Isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ini isu yang telah bertahun-tahun lamanya. Semasa lerajaan BN memerintah Selangor dulu, tidak ada rusuhan seperti ini di kuil tersebut. Kerajaan BN pada ketika itu telah memberikan komitmen untuk mengekalkan tapak kuil di sana.

Apabila kerajaan PH mengambil alih negeri Selangor pada 2008, keadaan bertukar. Hak milik tanah kuil tersebut diserahkan kepada pemaju dengan persetujuan kerajaan negeri PH dan ahli-ahli politik mereka.

Saya tidak bersetuju dengan hal ini sebab saya tahu hal hak milik tanah dan pemindahan kuil Sri Maha Mariamman ini adalah satu perkara yang tidak “straight forward”. Ada pelbagai percanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan, walaupun ia telah dibawa ke mahkamah dan mahkamah membuat keputusan.

Mahkamah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang dibentangkan kepadanya pada ketika itu. Namun selepas keputusan dibuat, masih terdapat percanggahan pendapat, maklumat dan tuntutan terhadap isu sensitif ini. Sebab itu sebelum ini saya pernah menyarankan bahawa kuil ini kekal dan tidak akan diroboh.

Pentadbiran Menteri Besar Azmin Ali dulu tidak berani untuk membuat keputusan, lalu beliau tangguhkan pemindahan kuil ini dan serahkan masalah ini kepada orang lain. Ini mungkin satu cara beliau untuk “tendang tin ke hujung jalan” atau “kick the can further down the road”.

Hakikatnya kerajaan negeri PH tidak mahu bertanggungjawab mahupun mengambil risiko. Sebenarnya jika mereka mahu, mereka boleh buat keputusan untuk kekalkan kuil tersebut di situ dan berunding untuk membayar pampasan kepada pemaju. Mereka ada kuasa ini sebab hal ehwal tanah di bawah bidang kuasa mereka.

Jika isu tanah Ijok boleh “diselesaikan” oleh mereka di luar mahkamah dengan cara ini, mengapa isu kuil ini tidak boleh?

Dulu (dan kini) kerajaan PH Selangor selalu war-warkan yang mereka negeri terkaya di Malaysia dan Kerajaan Negeri banyak duit lebihan. Jika mereka betul-betul ikhlas kepada masyarakat India di Selangor, kekalkanlah tapak kuil tersebut di situ.

Runding dan bayarlah pampasan kepada pemaju, kerana hubungan keharmonian kaum adalah lebih penting daripada bisnes dan kepentingan pemaju.

Atau adakah mungkin mereka berfikir sebaliknya dan melindungi kepentingan pemaju lebih daripada kepentingan masyarakat India seperti apa yang mereka telah buat untuk pemaju mengatasi dan menekan (atau “at the expense of”) orang Melayu di Ijok.

Saya ulangi saranan saya pada Februari tahun ini dulu: Jika BN memerintah Selangor, kuil ini tidak akan diroboh.

Ini bukannya soal politik, namun ia soal janji. BN mempunyai “track record” menunaikan janji.

Saya tidak percaya kepada kerajaan PH ini, mereka selalu mungkir janji. Namun sebaliknya jika masyarakat India masih lagi percaya kepada PH setelah sekian kali ditipu oleh mereka, maka terpulanglah kepada anda. – 27 November, 2018.

* Isham Jalil ialah presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen