PETRONAS menganugerahkan dua kontrak bernilai RM479 juta kepada firma kejuruteraan Sarawak, Brooke Dockyard dan Engineering Works Corporation bagi kerja-kerja berkaitan projek pembangunan gas di luar pesisir Sarawak.
Kontrak-kontrak itu adalah bagi pelantar kepala telaga di pembangunan semula fasa 3 Bokor dan pelantar kepala telaga dan juga jaket di projek pembangunan gas Anjung.
Pakej kontrak Bokor bernilai RM290 juta yang dianugerahkan pada 12 April, adalah bagi menyediakan ‘front-end engineering design’(FEED) dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) daripada tiga pelantar kepala telaga di medan minyak yang terletak di antara Delta Baram di Laut China Selatan kira-kira 45km dari Lutong, Miri.
Pelantar kepala telaga itu dijangka akan dipasang pada suku pertama 2019. Tarikh siap telah ditetapkan pada 27 Julai, 2019.
Kontrak kedua, bernilai RM189 juta dan dianugerahkan pada 25 April, adalah untuk penyediaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi satu pelantar dan jaket bagi Anjung, 200km luar pesisir dari Bintulu di medan gas Central Luconia.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Petronas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyaksikan majlis menandatangani kontrak di Kuching hari ini.
Wan Zulkiflee berkata kontrak-kontrak tersebut bukanlah petunjuk bahawa terdapatnya peningkatan dalam industri minyak dan gas.
Katanya, harga minyak di pasaran dunia “dijangka akan bertahan selama beberapa tahun lagi” dan disebabkan itu, pendekatan Petronas yang akan Petronas ambil dalam penjelajahan dan pembangunan pada tahun-tahun akan datang akan menjadi konservatif dan berhemat. – 18 Ogos, 2017.
Komen