Projek kondo taman TTDI tak dibatalkan, kata menteri


Desmond Davidson

Penduduk TTDI membantah projek pembinaan sembilan menara kondominium mewah dan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk penduduk rumah panjang di kawasan hijau Bukit Kiara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2018.

PUTRAJAYA tidak akan membatalkan arahan pembangunan yang mencetuskan kontroversi di kawasan hijau di Taman Rimba Kiara, sebaliknya akan mencadangkan pemaju mengecilkan skala projek berkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Khalid berkata beliau mencadangkan kepada pemaju Memang Perkasa untuk mempertimbangkan menggunakan hanya separuh daripada 12 ekar tapak yang asal ditawarkan, dan meneruskan pembangunan dengan skala lebih kecil.

Projek itu membabitkan pembinaan sembilan menara kondominium mewah dan blok 350 unit rumah mampu milik untuk penduduk rumah panjang Bukit Kiara.

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata dengan cara itu, ia memberikan “sebahagian kemenangan” untuk penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang membantah pembangunan berkenaan, dan juga kemungkinan menyelamatkan berjuta ringgit duit kerajaan untuk membayar pampasan kepada pemaju.

“Penduduk kena terima hakikat dan kena tolak ansur sedikit,” katanya pada satu program di Kuching, hujung minggu lalu.

Khalid berkata jika pemaju bersetuju untuk mengambil hanya 6 ekar kawasan itu, 2 ekar akan digunakan untuk kondominium sementara 4 ekar lagi akan digunakan bagi bangunan untuk rumah panjang.

“Hanya tambah 2 ekar lagi kawasan terbuka dan harapnya pemaju akan setuju. Mereka tidak dapat bina sembilan kondominium di situ, mungkin hanya empat,” katanya.

Koordinator “Selamatkan Taman Rimba Kiara” Leon Koay pada Jumaat menggesa kerajaan membatalkan projek itu dan menggantikan RM155 juta yang sudah dibelanjakan Memang Perkasa untuk projek pembangunan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata beliau mencadangkan pemaju menggunakan hanya separuh daripada 12 ekar tapak yang asal ditawarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2018.

Bagaimanapun, Khalid berkata membatalkan projek itu bukan pilihan untuk kerajaan, mengakui bahawa “banyak yang salah dilakukan” di bawah pentadbiran Barisan Nasional, kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh berbuat demikian atas alasan kos.

Projek itu diluluskan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor.

“Saya tidak boleh batalkan semuanya. Itu mustahil.

“Kita boleh batalkan projek itu tetapi jika buat begitu, kita terpaksa bayar mereka RM150 juta, tambah jutaan lagi pampasan.

“Kemudian bagaimana pula dengan penduduk rumah panjang,” katanya. – 26 November, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen