Isu perpindahan kuil 140 tahun di USJ bertukar kacau


Angota Pasukan Simpanan Persekutuan bersiap siaga di kawasan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di Subang Jaya, Selangor susulan insiden serangan lelaki bertopeng awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2018.

BEBERAPA individu cedera dan kereta terbakar apabila sekumpulan lelaki bertopeng, menyerbu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di Subang Jaya, Selangor awal pagi ini.

Polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dipanggil dan jalan di sekitar kawasan ditutup, kata polis daerah Subang Jaya dalam laman Facebook rasminya pagi ini.

Menurut laporan, lelaki bertopeng berada di tempat kejadian pada pukul 2 pagi untuk merobohkan kuil Hindu. Penduduk cuba menghalang mereka dengan mengelilingi tempat ibadat.

Situasi kemudian bertukar huru-hara apabila kedua-dua pihak bergaduh, mengakibatkan beberapa orang cedera dan kereta terbakar.

Seorang penduduk di kawasan itu berkata ia bukan rusuhan kaum tetapi menuduh pemaju di kawasan mengupah samseng untuk meruntuhkan kuil itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan yang Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor berkata dua lelaki berusia 30-an ditangkap bagi membantu siasatan.

Beliau berkata mereka ditahan di Hospital Serdang ketika sedang mendapatkan rawatan bagi kecederaan semasa pergaduhan.

“Sebanyak 18 buah kereta dan dua motosikal dibakar dalam kejadian itu.

“Sebuah kereta rondaan polis juga rosak selepas batu dilemparkan di kenderaan itu.” – 26 November, 2018.

Orang ramai melihat kesan kekacauan di kawasan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di Subang Jaya, Selangor selepas insiden serangan lelaki bertopeng awal pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen