PUTRAJAYA mahu memberikan hasil bersih 40 peratus Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963, tetapi dana tidak mencukup buat masa ini untuk berbuat demikian, kata Lim Guan Eng.
Menteri kewangan itu berkata kerajaan persekutuan bukan sengaja melambatkan perkara itu tetapi situasi kewangan semasa menjadikan ia sukar.
“Kami ingin memberikan kembali apa yang terhutang kepada Sabah.
“Tetapi bagaimana kita nak lakukannya jika tiada duit yang cukup?” Lim dipetik sebagai berkata oleh Star Online pada sidang media di kongres DAP Sabah hari ini.
Lim berkata perkara mengenai hasil negeri dan MA63 dilihat di bawah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan.
“Biar kita kukuhkan semula kedudukan kewangan terlebih dahulu, kita mahu menghalang Malaysia daripada menjadi bankrap,” beliau dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun, Lim berkata, kerajaan telah menambah peruntukannya untuk Sabah dalam Bajet 2019.
“Keseluruhan bajet yang diperuntukkan kepada Sabah telah meningkat, malah emolumen bagi anggota Pasukan Keselamatan Timur Sabah telah meningkat,” katanya.
Lim berkata dana pembangunan Esscom meningkat daripada RM36.7 juta pada 2018 kepada RM74.5 juta bagi tahun 2019.
Katanya peruntukan untuk emolumen meningkat daripada RM14.9 juta sekarang kepada RM17 juta bagi 2019. Dana bagi perkhidmatan Esscom juga meningkat daripada RM19.2 juta kepada RM25.6 juta bagi tahun 2019. – 25 November, 2018
Komen