Ibu bapa harap perluas bantuan sarapan ke sekolah bandar


Mohd Farhan Darwis

Rancangan Makanan Tambahan bagi pelajar sekolah rendah terpilih sudah wujud sejak 1979. – Gambar Facebook, 25 November, 2018.

KALANGAN ibu bapa berharap rancangan kerajaan untuk menyediakan sarapan untuk murid daripada keluarga B40 dapat diperluas untuk sekolah-sekolah di kawasan bandar.

Ini kerana, program berkenaan dapat membantu meringankan bebanan mereka disebabkan kesibukan bekerja, kata ibu bapa yang ditemui The Malaysian Insight.

Halmie Abdul Hamid, 42, berkata dua anaknya yang bersekolah rendah darjah tiga dan lima tidak bersarapan di rumah, sebaliknya hanya bersarapan di sekolah.

“Anak saya pergi sekolah tak sarapan, pagi tak sempat, tapi kita bagi duit belanja untuk makan dekat sekolah, belanja sekolah anak-anak saya beri RM5 sehari.

“Kalau orang nak bagi sarapan percuma bagus juga,” katanya lagi, ketika mengulas cadangan skim sarapan percuma oleh kerajaan.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada awal bulan ini bahawa kerajaan mengkaji untuk menyediakan skim sarapan percuma berkhasiat untuk anak-anak dari keluarga B40.

Noor Syura Ismail, 39, turut menyambut baik cadangan Maszlee itu kerana dapat meringankan beban ibu bekerja sepertinya.

“Anak saya sebelum bersekolah memang bersarapan di rumah, tetapi kalau ada program sarapan di sekolah, boleh ringankan sikit tugas saya.

“Kadang-kala terlambat jadi kelam kabut nak urus anak, siapkan sarapan lagi,” katanya yang bekerja sebagai guru.

– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2018.

Bagi Samsuri Setia, 54, anak-anaknya lebih gemar bersarapan di sekolah, walaupun sarapan pagi disediakan di rumah.

“Selalunya anak-anak tak makan, kadang kala sahaja mereka sarapan, tidak tentu, selalunya sarapan di sekolah…sebelum ke sekolah mereka minum air panas, tapi tidak sarapan,” katanya.

Gesaan sama disuarakan Aisyah Ariffin, 32, yang berkata beliau dan suami tidak sempat menyiapkan sarapan anak kerana perlu keluar rumah awal pagi untuk mengejar waktu kerja dan mengelak kesesakan jalan raya.

Pekerja syarikat swasta itu berkata, pada kebiasaannya, dia akan memberikan duit belanja kepada anaknya untuk makan di sekolah.

“Jadi kalau budak tak sempat bersarapan di rumah, taklah mereka masuk kelas kelaparan, cuma pertimbangkanlah untuk kami masyarakat di bandar juga,” katanya, yang menetap di Johor Bahru.

Cadangan oleh Maszlee itu disambut dengan sindiran oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berkata idea itu katanya sangat “bernas” hingga tidak sedar kerajaan sudah memotong dana Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Najib juga berkata cadangan Maszlee menunjukkan menteri itu tidak tahu operasi pendidikannya, kerana RMT diwujudkan sejak 1979.

Pegawai khas Maszlee, Zul Fikri Zamir bagaimanapun mempertahankannya, dan menjleaskan berkata Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang Najib maksudkan adalah program semasa rehat.

Daripada 2,685,403 murid yang bersekolah rendah, hanya 489,117 muid sahaja menerima bantuan RMT. – Gambar Unit HEM SK Sementa, 25 November, 2018.

Katanya lagi cadangan menteri pendidikan itu melibatkan sarapan pagi yang merupakan hidangan paling penting.

Zul Fikri berkata  RMT hanya diberi kepada anak-anak tertentu sahaja. Daripada 2,685,403 murid yang bersekolah rendah, hanya 489,117 muid sahaja menerima bantuan RMT.

“Ini hanya 18% daripada jumlah murid,” katanya, memetik data kementerian pada 2018.

Pada Januari 2012, menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin mencadangkan sekolah mengubah waktu rehat supaya lebih awal untuk membolehkan pelajar bersarapan sebelum memulakan proses pembelajaran.

Ia susulan lawatannya di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Pantai di ibu negara pada masa itu yang mendapati kebanyakan pelajar sekolah berkenaan tidak sempat bersarapan.

Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga mendapati kanak-kanak yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) mengalami kekurangan zat. 

Berdasarkan kajian pada Mac 2018 itu, tinjauan daripada 17 projek PPR di sekitar Kuala Lumpur mendapati sebanyak 10% kanak-kanak menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Belanjawan KPM 2019 turut menyaksikan pemotongan sebanyak RM11 juta bagi program RMT.

Pelaksanaan RMT menerima kritikan pada 2010, selepas laporan Ketua Audit Negara 2009 mendapati program RMT tidak menepati syarat yang sepatutnya.

Laporan audit menyatakan kontraktor pembekal makanan dipercayai membekalkan kualiti makanan yang jauh lebih rendah daripada menu yang dicadangkan RMT. – 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen